Home Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Yakin Pakej Rangsangan Prihatin Mampu Jana Semula Ekonomi

855
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

PAS Yakin Pakej Rangsangan Prihatin Mampu Jana Semula Ekonomi

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 billion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin.

Inisiatif ini seperti memahami denyut nadi rakyat yang terjejas dalam mengharungi fasa penularan wabak COVID-19 yang kritikal.

Secara umumnya pakej ini dilihat menyeluruh merangkumi kebajikan rakyat, sistem sokongan perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) serta program pengukuhan ekonomi negara.

Langkah ini amat wajar di saat negara sedang bergelut dengan masalah ekonomi global, kejatuhan harga petroleum dan komoditi yang merencatkan pertumbuhan ekonomi negara sekali gus memberi kesan langsung kepada sosio-ekonomi rakyat.

Menarik untuk diperhalusi, pakej rangsangan ini menyentuh hampir setiap segmen rakyat secara komprehensif. Manfaat bukan sahaja diberikan kepada golongan B40, tetapi golongan M40 yang bertujuan memastikan kuasa beli rakyat ditingkatkan.

Sebagai contoh peruntukan RM128 billion untuk melindungi kebajikan rakyat. Inisiatif ini bukan sahaja melegakan rakyat termasuk ‘Makcik Kiah’ yang disebut oleh Perdana Menteri Malaysia tetapi sekali gus dapat meningkatkan aliran tunai dalam pasaran.

Kuasa beli ini membenarkan rakyat boleh berbelanja seterusnya akan meningkatkan keupayaan perniagaan, perdagangan dan perindustrian yang boleh membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

PAS yakin dengan ketelusan kepimpinan Perdana Menteri bersama Kerajaan Perikatan Nasional mampu menyelesaikan isu sosio-ekonomi rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19 seterusnya dapat memulihkan negara menjadi kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini.

Seterusnya memastikan kehidupan sejahtera berbilang kaum untuk melayari bahtera negara kita dengan harmoni.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
28 Mac 2020 | 3 Syaaban 1441