Home Artikel PAS Melaka

PAS tetap komited berperanan walaupun memiliki jawatan kerajaan yang terhad

361
SHARE

Oleh SITI HAJAR

HANG TUAH JAYA, 5 Mac : Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, mendakwa bahawa ahli PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri sangat komited menyempurnakan amanah dan tugas walaupun tidak ramai yang dilantik memegang portfolio utama kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam satu diskusi Melaka Update ‘Di Mana Peranan PAS di Dalam Kerajaan Melaka?’ anjuran Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi PAS Melaka malam tadi.

Menurut beliau yang juga merupakan Penasihat Agama kepada YAB Ketua Menteri Melaka, PAS Melaka tidak berjaya memperoleh sebarang kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 terdahulu yang menyebabkan bidang kuasa PAS di Melaka sedikit terbatas.

“Di awal tadi saya ada sebut yang ‘post’ kita agak terhad. Contohnya Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka, Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail, kita memposisikan beliau di Majlis Fatwa Negeri Melaka yang kita rasa sesuai sangat beliau duduk di sana berperanan.

“Begitu juga ada dua pimpinan PAS kita antaranya Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman, duduk di ‘post’ board Kompleks Falak Al-Khawarizmi dan ada sahabat kita pimpinan Yang Dipertua PAS Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip, duduk di anak Syarikat PMPC di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM),” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu terdapat hampir 300 hingga 400 orang ahli PAS yang dilantik di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Sidang, Pengerusi Masjid serta menjadi Ahli Jawatankuasa Masjid di seluruh Melaka.

“Mereka ini golongan yang dianggap yang paling hampir dengan masyarakat di bawah. Golongan ini perlu diberi perhatian dan perlu memainkan peranan yang begitu penting untuk memperlihatkan kepada rakyat imej dan cara bekerja kita mesti berlainan daripada pihak-pihak yang lain.

“Bagaimanapun kelompok ini ada yang saya tahu perkhidmatan mereka cemerlang walaupun mereka kali pertama memegang jawatan Pengerusi Masjid, Pengerusi JPKK dan sebagainya.

“Mereka cakna masyarakat setempat dan menambahbaikkan program-program yang tidak pernah diadakan sebelum ini,” jelas beliau kepada moderator program, Mohammed Saufee Othman yang mengendalikan program itu.

Beliau juga menambah, terdapat beberapa tindakan proaktif yang dibuat untuk melancarkan lagi pengurusan ahli PAS dalam portfolio masing-masing seperti adanya sistem penyelarasan maklumat bagi jawatankuasa masjid untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan pantas.

Ustaz Kamarudin berkata, PAS juga sedia untuk mengetengahkan tokoh-tokoh yang boleh beraksi di medan masing-masing memandangkan PAS mempunyai ahli-ahli yang berkaliber dalam pelbagai bidang seperti pelaburan dan bidang-bidang lain.