12 November 2020
Penulis: Khairul Izwan
Rompin :: PAS Kawasan Rompin menyeru orang ramai untuk mematuhi peraturan dan SOP (standard of procedure) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seruan dan saranan ini adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai kepentingan untuk mematuhi SOP ini untuk memutuskan rangkaian Covid19.
Angka-angka terbaru yang dikeluarkan oleh KKM pada setiap hari adalah sangat tinggi dan membimbangkan sehingga Kerajaan terpaksa mengumumkan PKPB seluruh semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Rompin, Syed Razman Syed Mohamad berharap orang ramai dapat meningkatkan kesedaran berkenaan keselamatan kendiri dan SOP pencegahan Covid19.
“Amalkan disiplin kendiri di tempat kerja. Elak aktiviti berkumpulan. Amal penjarakan fizikal & pakai pelitup muka. Kita belum menang,” katanya.
“Konsep Pembudayaan Norma Baharu CAPP – Cegah, Amalkan, Patuhi, Pantau. Bersama kita berusaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Jika ada keperluan di luar rumah, patuhi SOP & nasihat KKM.”
Setakat ini, langkah pencegahan melalui SOP KKM adalah ‘vaksin’ terbaik untuk melawan virus tersebut.
“Langkah pencegahan adalah vaksin terbaik buat kita dan keluarga daripada jangkitan COVID-19. Jika tiada urusan di luar, duduklah di rumah dalam tempoh dua minggu ini untuk kita membantu negara memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Beri kerjasama dan patuhi SOP.” rayu beliau kepada orang ramai.
Bersamalah kita memutuskan rangkaian Covid19 ini.