Home Kenyataan Media PAS Pulau Pinang

PAS Pulau Pinang tegas menolak cadangan jambatan ketiga Kerajaan Negeri

30
SHARE

KENYATAAN MEDIA PESURUHJAYA PAS PULAU PINANG

PAS PULAU PINANG TEGAS MENOLAK CADANGAN JAMBATAN KETIGA KERAJAAN NEGERI

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pulau Pinang menyokong penuh kenyataan media Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Kamaruzaman Mohamad iaitu membantah rancangan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang untuk membina Jambatan ke-3 bagi menggantikan Projek Terowong bawah laut yang gagal dilaksanakan sehingga masa ini.

Kami berpendirian bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang perlu memberi keutamaan kepada isu ekonomi dan kebajikan rakyat di negeri ini berbanding melakukan satu lagi pembaziran wang rakyat ketika negara sedang berhadapan era pasca pandemik COVID-19.

Misalnya, sebanyak RM305 juta telah dibelanjakan untuk kajian kebolehlaksanaan fasa awal rancangan pembinaan Terowong Dasar Laut sebelum ini, namun telah tertangguh kerana kes perbicaraan mahkamah yang melibatkan Mantan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Persoalannya, pertama; adakah Kerajaan Negeri gagal dalam mengurus serta mengawal kewangan secara berhemah sehingga boleh merisikokan masa depan negeri ini, kedua; adakah rancangan projek ini sudah termasuk dalam Rancangan Struktur Negeri 2030 (RSN 2030), dan ketiga; adakah cadangan projek jambatan ke-3 ini dapat menyelesaikan kesesakan yang sedia ada sebagaimana pelan asal yang dicadang iaitu Penang Transport Master Plan (PTMP) yang masih kabur matlamatnya.

Oleh yang demikian, PAS Pulau Pinang sekali lagi menyatakan pendirian tegas bahawa kami membantah sekeras-kerasnya projek Jambatan ke-3 ini dan menggesa supaya kerajaan negeri terus memberi fokus kepada projek pembangunan yang mampan dan lestari dalam era pasca pandemik COVID-19 ini dengan mengutamakan kebajikan rakyat.

Islam Memperkukuh Perpaduan

Ustaz Muhammad Fauzi bin Yusoff
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang