Home Berita PAS Negeri Sembilan

PAS Port Dickson usahakan Projek Durian Mampu Milik

85
SHARE

Oleh: RUSILAH MD SOM

“Hampir semua 15 ribu pokok durian Musang King telah ditebang.” Ini antara tajuk berita dalam akhbar Berita Harian bertarikh 11 Julai yang ditulis oleh wartawan Mohd Rafi Mamat.

Namun berlainan pula dengan apa yang diusahakan oleh PAS Kawasan Port Dickson bersama Lajnah Pertanian dan Ekonominya ( LPE) iaitu penanaman pokok durian melalui Projek Durian Mampu Milik (PDMM).

Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Port Dickson, Abdul Fatah Zakaria memberitahu bahawa projek ini sebagai perintis kepada PAS Kawasan ini untuk menjana ekonomi dan seterusnya menambah dananya.

Pengarah PDMM ini, Major (B) Abdul Rahim Manshor pula memberitahu bahawa segala urusan berkaitan penanaman dan penjagaan pokok durian tersebut akan diuruskan oleh RSElite Management secara berfasa.

Menurutnya, fasa pertama telah dimulakan dengan penanaman pokok durian di atas seekar tanah wakaf yang dapat memuatkan sebanyak 40 batang pokok durian, manakala fasa kedua pula bakal diusahakan di atas sebidang tanah pajakan seluas dua ekar milik salah seorang ahli PAS Kawasan Port Dickson.

Melalui projek fasa pertama, tawaran harga kepada pelabur adalah mengikut jumlah pokok durian yang hendak dimiliki dan kesemua 40 batang pokok telah terjual sepenuhnya kepada ahli-ahli PAS Kawasan Port Dickson, jelasnya lagi.

Fasa kedua PDMM telah bermula dan tawaran pendaftaran masih dibuka kepada warga Negeri Sembilan untuk melabur melalui projek yang akan diusahakan di atas sebidang tanah pajakan seluas dua ekar di kawasan pertanian Linggi, Negeri Sembilan dengan mensasarkan sebanyak 80 batang pokok yang akan ditanam.

Jelasnya lagi, PDMM fasa kedua bakal memulakan projek tanaman dalam tempoh masa terdekat iaitu apabila telah mencapai jumlah sasaran pelabur yang ditetapkan.

“Harga yang kami tawarkan bagi pelabur memiliki sebatang pokok ialah RM2,700 dan ia termasuk bayaran yuran guaman serta diberi kemudahan dengan cara bayaran secara lima kali ansuran seperti jadual berikut:”

a. Julai 2021 – RM 800
b. Julai 2022 – RM 520
c. Julai 2023 – RM 460
d. Julai 2024 – RM 460
e. Julai 2025 – RM 460

Menurut Pengarah PDMM itu lagi, PAS Kawasan Port Dickson juga telah melantik peguam bertauliah bagi menguruskan segala perjanjian kontrak terutama bagi menjaga kepentingan pelabur walaupun pokok durian tersebut hanya akan mengeluarkan buah dalam anggaran tempoh lima atau enam tahun akan datang.

Beliau menyebutkan antara kandungan perjanjian dalam program PDMM, iaitu mengenai pembahagian hasil tanaman samada dalam bentuk buah atau duit. Hasil buah durian buat pertama kalinya akan menjadi milik peserta pelabur sepenuhnya, manakala hasil tanaman tahun-tahun berikut sehingga kontrak PDMM ini tamat pada tahun yang ke-15 akan diagihkan sama rata, iaitu 50 peratus adalah untuk pelabur dan 50 peratus lagi menjadi milik PAS Kawasan Port Dickson.

PAS Kawasan mempunyai komitmen yang besar kerana telah mensasarkan keuntungan yang bakal diperolehi bagi kegunaan menampung pelbagai aktiviti PAS di kawasan, bagi operasi 11 buah Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI) dan sebuah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) serta aktiviti sebuah NGO Kebajikan, PRIHATIN Port Dickson.

Antara yang menariknya PDMM ialah tawaran kemudahan bayaran yang disediakan bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai projek penanaman durian yang diusahakan oleh PAS Kawasan Port Dickson tersebut kerana projek ‘mampu milik’ yang di uar-uarkan benar-benar mampu dimiliki oleh rakyat.

Penulis ingin mengajak rakyat Negeri Sembilan khasnya untuk tidak melepaskan peluang keemasan memandangkan ia menjadi projek perintis PAS Kawasan Port Dickson yang bakal menguntungkan para peserta yang komited untuk bersama-sama dalam projek ini.

Penulis juga melihat bagaimana Negeri Sarawak telah menjadikan penanaman Durian Musang King sebagai salah satu produk yang menjana pendapatan rakyat sekali gus menjadikan Sarawak sebagai pengeksport utama durian menjelang tahun 2030.

Petikan ucapan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Gerawat Gala yang disiarkan pada 31 Ogos, 2019 dalam Berita Sarawak berkata:

“Kerajaan Sarawak berusaha membantu petani di negeri ini dengan menjadikan tanaman Durian Musang King sebagai tanaman komersial yang boleh menjana pendapatan lumayan”.

Justeru, PDMM bakal menjadi projek tanaman durian yang mampu menjana pendapatan para pelabur serta PAS Kawasan dan projek demikian perlu dicontohi oleh PAS di negeri-negeri lain.

Bagi sesiapa yang berminat untuk bersama dalam PDMM boleh menghubungi Pengarah Projek: Major (B) Abdul Rahim Mansor (019-660 9695) untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Artikel ini telah disiarkan di Harakah bertarikh 26-29 Julai 2021