Oleh: SHAWAL AHMAD
SEMABOK : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Melaka menggesa kumpulan bantah Jawi wajar membatalkan sidang anti jawi dan mengecam sekeras-kerasnya kebiadaban pertubuhan pelampau Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bagi meneruskan demonstrasi bantahan tulisan Khat dan Jawi yang dijadualkan akan diadakan Sabtu ini.
Ini dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sedik dalam satu sidang media khas berkaitan isu ini di sini semalam.
Kamarudin berkata, program seumpama itu akan mencetus kekacauan dan ketidakstabilan serta memecah-belahkan perpaduan rakyat dan menyemai sikap anti-nasional di kalangan masyarakat Cina.
‘‘PAS Melaka percaya akan ada satu lagi demonstrasi balas kerana ia akan mengundang tindak balas (kemarahan) daripada kumpulan Melayu jika ia diteruskan dan sudah pasti ia akan mencetuskan perpecahan yang tidak akan berpenghujung, malah boleh menjangkau ke rusuhan kaum jika tidak dibendung yang akhirnya tidak menguntungkan sesiapa,’’ jelasnya.
Kamarudin juga mengecam pihak yang mengambil kesempatan memanaskan isu perkauman dengan isu tular berkenaan kain rentang ‘anti-jawi’ yang digantung di luar pintu pagar beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Melaka.
‘‘Kami (PAS Melaka) mengambil jalan tengah bagi isu ini, kita tidak tuduh sesiapa sebab kita tidak tahu siapa yang gantung banner tersebut. Jika pihak berkuasa boleh dapat maklumat, kami menyokong sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap perilaku yang melanggar undang-undang’’ katanya.
Beliau juga menyatakan tindakan Dr Mahathir pada 12 Ogos lalu secara berterus-terang melabelkan Dong Zong sebagai rasis adalah kerana mereka tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini yang amat baik dari idea Perdana Menteri, menggabungkan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil gagal dilaksana kerana diboikot Dong Zong.
‘‘Kenyataan Tun kami lihat lebih pada peringatan kepada Dong Zong tidak sampai hingga mengambil tindakan sehingga mengharamkan pertubuhan tersebut. Yang timbul isu desakan mengharamkannya sekarang setelah rakyat melihat ia semakin mendesak begitu kuat dalam menolak dasar pendidikan contohnya dalam isu anti jawi. Dong Zong sepatutnya jangan bertindak sebagai pertubuhan yg rasis, kenyataan Tun yang jelas sebagai ingatan sepatutnya Dong Zong kena ambil perhatian’’ujarnya.
‘‘PAS Melaka juga tidak ada membuat laporan polis terhadap Dong Zong, walaubagaimanapun kami bersetuju mana-mana pihak membuat laporan polis supaya mendesak himpunan yang bakal dianjur dapat dibatalkan’’ ujar beliau.
“PAS Melaka turut menyambut baik kesediaan pihak Dong Zong untuk berdialog dan turut bersedia menyertai dialog tersebut dengan semua pihak bagi menyelesaikan isu bantahan tulisan Jawi bagi memurnikan segala isu berbangkit, menghilangkan prejudis dan syak wasangka yang akhirnya akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat yang berbilang kaum,” katanya pada sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Negeri Melaka di Pejabat Perhubungan PAS, Semabok semalam.