Home Artikel PAS Johor

PROGRAM KEMBALI KE SEKOLAH, GUNTING RAMBUT PERCUMA BERI SINAR KECERIAAN

192
SHARE

Oleh : Tinta Tebrau

Musim persekolahan baru bakal membuka tirai tidak lama lagi. Keceriaan dan kegembiraan jelas terpancar pada riak wajah bagi yang akan memasuki alam baru, iaitu alam persekolahan. Pastinya persediaan sedang giat dilakukan oleh para pelajar. Namun, tidak semua yang bernasib baik dalam menyediakan kelengkapan kepada anak-anak yang ingin memulakan persekolahan baru.

PAS Kawasan Tebrau melalui Lujnah Kebajikan dan Dewan Pemudanya mengambil inisiatif seperti tahun-tahun sebelumnya bagi meringankan beban mereka itu melalui dua program utama, iaitu Program Kembali Ke Sekolah dan Gunting Rambut Percuma. PAS Kawasan mensasarkan golongan asnaf dan awam untuk kedua-dua program tersebut.

Bertempat di Today’s Mall, Ulu Tiram, program Kembali Ke Sekolah disempurnakan perasmiannya oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin minggu lalu. Dalam penyampaiannya, beliau menekankan betapa pentingnya memberi pendidikan agama sebaiknya kepada anak-anak.

Institusi pendidikan seperti PASTI, SRITI, SMITI dan sekolah-sekolah Tahfiz adalah pilihan terbaik untuk anak-anak. Tambahanya lagi, hidup di zaman fitnah semakin sukar membezakan kebenaran dan kebatilan, maka Al-Quran dan As-Sunnah menjadi pegangan dan panduan utama bagi mendepani cabaran tersebut.

Seramai 33 asnaf menerima sumbangan berupa kelengkapan alat tulis, beg sekolah dan sejumlah wang saku untuk membeli pakaian dan kasut sekolah. Sebagai menutup tirai program, Ketua Lujnah Kebajikan, Mohd Rozie Kuta Abdullah berharap sumbangan yang tidak seberapa ini mampu memberi sinar keceriaan kepada penerima dan semangat untuk menuntut ilmu.

Beliau tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada pihak Today’s Mall kerana memberi izin menjayakan program, para peserta dan pelaksana program. Cenderahati disampaikan kepada jemputan VIP sebagai tanda kenangan.

Manakala pada minggu ini, program Gunting Rambut Percuma berjaya dilaksanakan di Balai Islam Tok Guru Nik Aziz (TGNA), Taman Kota Masai. Program yang bermula jam 8 pagi itu mendapat sambutan 50 peserta. 3 daripadanya merupakan anak saudara Kumutha Raman.

Dalam perkongsian tazkirah ringkas, Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Ewan Rafiq Husin menyeru supaya menjaga solat dan perbanyakkan membaca Al-Quran. Membawakan kisah B.J Habibi (bekas Presiden Indonesia) berkenaan 2 Yahudi yang berjaya mendapat tempat terbaik dalam bidang ilmu Kejuruteraan. Apabila ditanya, Yahudi tersebut menjawab mereka berjaya kerana mengamalkan bacaan Al-Quran pada awal pagi setiap hari. 

Program dimeriahkan dengan aktiviti memanah percuma kepada peserta. Ketua DACS Tebrau, Mohd Shukri Jusoh meraikan peserta dengan memberi penerangan dan tunjuk ajar cara memanah dengan betul. Dengan tenaga 2 tukang gunting rambut, program berjaya diselesaikan jam 2 petang. Cenderahati disampaikan kepada tukang gunting sebagai tanda kenangan.

Turut hadir memeriahkan program-program tersebut ialah, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau, Rohaiza Mohd Razali, Ketua Lujnah Perpaduan Nasional, Fatimah HP Dhulkarnain dan Ketua Wanita DHPP Pusat, Kumutha Raman.