Home Artikel PAS Melaka

PAS Masjid Tanah ziarah nenek Salmah – mangsa kebakaran Kampung Pengkalan Pauh

883
SHARE

 

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 2 Julai : Pimpinan PAS Kawasan Masjid Tanah telah menziarahi Hajah Salmah Kassim, 81 tahun, yang terlibat dengan kejadian rumah terbakar baru-baru ini di kediaman sementaranya di Taman Wira Indah, Lubok Cina di sini pagi tadi.

Rumah nenek Salmah yang dibina pada tahun 1951 itu hangus dalam kejadian kebakaran di Batu 34 ¼ Kampung Pengkalan Pauh, Lubok Cina, Melaka, kira-kira jam 2 pagi 29 Jun lepas.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Asri Shaik Abdul Aziz yang mengetuai rombongan itu turut menyerahkan bantuan wang tunai dan makanan asas untuk meringankan beban ditanggung nenek Salmah dan keluarganya.

 

Asri yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Melaka berkata sumbangan adalah dari PAS Kawasan Masjid Tanah, Dewan Pemuda PAS Kawasan Masjid Tanah, Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah dan PAS Cawangan Sungai Siput.

“Mari kita sama-sama berdoa semoga keluarga nenek Salmah ini diberi kekuatan dalam mengharungi musibah dan ujian dari Allah swt ini. Kami juga berharap ramai lagi yang akan tampil menghulurkan bantuan demi meringankan beban keluarga ini.” Ujar beliau.

Asri mewakili Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman yang tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.

Sementara itu, nenek Salmah ketika menceritakan apa yang berlaku pada malam kejadian berkata beliau bersama seorang anak dan empat orang cucunya berada di dalam rumah ketika itu di mana semua mereka sedang tidur.

“Makcik terbangun. Ada macam bau hangit. Makcik fikir ada anak atau cucu makcik yang memasak dan tertinggal masakan sampai hangit. Makcik pergi ke dapur. Eh, tengok tak ada orang memasak. Dapur pun tak ada nampak masakan atas dapur.

“Lepas tu makcik balik semula ke bilik nak tidur balik. Masa tu makcik nampak bahagian hadapan rumah sedang terbakar. Cepat-cepat makcik kejut anak dan cucu-cucu makcik.” jelas nenek Salmah.

Salah seorang cucu nenek Salmah, Nor Farahana Anuar, 24 tahun, yang juga berada di dalam rumah itu semasa kejadian berkata api bermula dari bahagian anjung tempat letak kereta di hadapan luar rumahnya itu.

“Bilik tidur saya paling hampir dengan punca kebakaran. Masa tu saya tengah tidur. Tiba-tiba saya seperti melihat cahaya sangat terang. Bila terjaga saya nampak api sudah mula marak.

“Selepas itu saya kejutkan semua adik beradik saya yang sedang tidur di ruang tamu dan bawa nenek dan semua adik beradik saya keluar.

“Kami cuba memadamkan kebakaran dengan mengangkut air menggunakan baldi, tapi api merebak dengan cepat. Tak sempat dan merbahaya untuk kami padamkan. Kemudian kami duduk jauh sikit dari kawasan kebakaran.”

Menurut Farhana lagi mereka menghubungi bomba sekitar jam 2 pagi dan kenderaan bomba tiba setengah jam kemudian di mana pada ketika itu hampir keseluruhan rumah telah pun dijilat api.

Tambah Farhana lagi mereka sempat menyelamatkan sebuah kereta milik keluarganya namun tiga buah motor dan sebuah komputer riba gagal diselamatkan dan rentung dalam kebakaran itu.

Turut hadir dalam ziarah itu ialah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Arshad Md Som, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah, Aziah Md Saad serta beberapa orang pimpinan DMPKMT dan pimpinan PAS Cawangan Sungai Siput.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)