Home Berita PAS Melaka

PAS Masjid Tanah ziarah keluarga mangsa kemalangan maut Almarhum Ustaz Shahidan

738
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 9 September : PAS Kawasan Masjid Tanah bersama-sama dengan Jabatan Pilihanraya DUN (JPrD) PAS Taboh Naning telah mengadakan ziarah ke atas keluarga seorang mangsa kemalangan maut, Almarhum Ustaz Mohd Shahidan Abu Bakar, 32, di Kampung Air Pa’abas Padang Lalang di sini pagi tadi.

Almarhum yang merupakan seorang guru di Sekolah JAIM Pegoh Dalam terlibat dalam satu kemalangan maut di Jalan Kampung Air Pa’abas-Kampung Lendu tiga hari lepas.

Menurut maklumat dari waris Almarhum juga, 40 hari sebelum kemalangan itu keluarga mereka telah pun melalui peristiwa sedih di mana abang kepada Almarhum juga telah meninggal dunia.

Di dalam ziarah ini, PAS Kawasan Masjid Tanah dan PAS JPrD Taboh Naning turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada waris Almarhum.

Sumbangan kepada ibu Almarhum telah disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman sementara sumbangan untuk balu Almarhum disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Azmi Sambul kepada adik balu Almarhum mewakili kakaknya.

Almarhum meninggalkan seorang balu, seorang anak yang masih kecil dan seorang ibu yang menderita angin ahmar.

Dalam program yang sama juga pihak PAS Kawasan Masjid Tanah dan JPrD Taboh Naning turut menziarahi seorang tokoh As-Sabiqun PAS iaitu Haji Ramli Lazim yang juga merupakan pemilik sekolah memandu Detik Erat.

 

Beliau yang sudah lima tahun menghadapi kesukaran untuk bergerak kerana uzur sebelum ini merupakan aktivis PAS yang banyak membantu PAS terutama dari sudut kewangan.

Menurut Pengarah PAS JPrD Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad, kunjungan ini adalah sebagai tanda ingatan PAS Kawasan Masjid Tanah dan JPrD PAS Taboh Naning terhadap segala jasa-jasa dan pengorbanan beliau selama ini.

“Semoga Haji Ramli sentiasa diberi kesihatan dan sentiasa dirahmati Allah SWT.” ujar beliau ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di dalam program tersebut.

Program ziarah ini adalah sebahagian daripada program Program Sembang Rakyat Merdeka sebagai salah satu program dalam Sambutan Bulan Kemerdekaan anjuran PAS Kawasan Masjid Tanah dengan kerjasama Jabatan-jabatan Pilihanraya DUN (JPrD) PAS di dalam Parlimen Masjid Tanah.

Kredit foto : Mohd Taro Jaafar.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)