Home Berita PAS Kedah

PAS Kubang Pasu beri sumbangan bantu mangsa banjir Baling

54
SHARE

JITRA – PAS Kawasan Kubang Pasu kelmarin telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM3,000 hasil kutipan daripada warga Kubang Pasu kepada mangsa banjir di Baling.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Pasu , Ustaz Zulhazmi Osman bersama beberapa orang ahli jawatankuasanya telah turun ke kawasan yang dilanda banjir untuk menyerahkan sumbangan.

“Ada yang dapat membantu dengan jumlah yang banyak, dan ada yang memberikan sedikit tetapi masih mampu meringankan beban mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Sementara itu, Ustaz Zulhazmi Osman turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu mangsa banjir sama ada dari segi kewangan ataupun tenaga.

Sebelum ini, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi kepala air dan banjir lumpur melibatkan lima kampung di Kupang, Baling yang sehingga ini mengorbankan tiga mangsa dan menyebabkan 1,500 penduduknya terjejas serta puluhan kediaman rosak.

Hujan lebat lebih tiga jam sejak Isnin membawa bersama lumpur tebal, timbunan pokok serta sisa kayu dari Gunung Inas berdekatan, mengakibatkan sebuah jambatan yang menghubungkan kampung di Sungai Iboi roboh manakala jalan utama terputus hubungan.

Antara kampung yang terlibat dalam bencana itu adalah Kampung Iboi, Kampung Bukit Ibor, Kampung Tok Pisang, Kampung Tok Saba dan Kampung Padang Empang.