Home Berita PAS Sabah

Ikhlas dan jujur dalam perjuangan Islam

152
SHARE

Oleh: Renna Yun
26 Julai 2022

KOTA BELUD : Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kota Belud kali ke-34 telah berlangsung dengan jayanya di Markas PAS Lilud pada Ahad lepas.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Abdul Hisham Othman mengingatkan ahli agar menanam sifat ikhlas dan sentiasa berusaha menambah ilmu dalam perjuangan Islam.

“Setiap ahli perlu ada keikhlasan dan kejujuran dalam setiap gerak kerja. PAS berjuang untuk agama Islam maka setiap ahli perlu memberikan komitmen dan iltizam dalam perjuangan ini.

“Perkara asas iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah yang ada dalam jemaah perlu digarap dengan baik,” ujar beliau dalam ucapan perasmian mesyuarat.

Beliau turut mengingatkan ahli agar membina ukhuwah dengan baik melalui tamrin, usrah dan program tarbiah yang lain bagi menghubungkan hati mereka.

Pelancaran PAS Pilihanku dan Lafaz Ikrar Jentera Pilihanraya PAS Kota Belud turut diadakan selepas majlis perasmian.

Satu simbolik penyerahan borang penaja 5 cawangan iaitu Rampayan Laut, Tamau, Kota Bungan, Payas-Payas dan Pantai Emas dilakukan oleh Ketua Penerangan PAS Kota Belud, Tayakup Makbul kepada Hisham.

Mesyuarat itu dihadiri oleh hampir 100 orang ahli dan sebahagian besar terdiri daripada kalangan anak muda.

“Dengan kehadiran anak muda ini menunjukkan generasi muda tempatan mulai celik politik semasa dan memberikan sokongan padu kepada perjuangan yang dibawa oleh PAS,” ujar Hisham lagi.

Beberapa anugerah telah dikurniakan kepada ahli antaranya Anugerah Tokoh Istiqamah dinobatkan kepada Haji Ikin Iring,86, daripada cawangan Lilud yang hadir bersemangat dengan bantuan tongkat.

Turut menerima anugerah bagi kategori Anugerah Jasa Bakti Siti Khadijah untuk penggerak aktif muslimat iaitu Jintan Haji Muluk, Milah Haji Mukuk daripada cawangan Kampung Kesapang dan Halimah Likin daripada Cawangan Kg. Lilud