Home Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS Komited Bersama PN, Dukung Kepimpinan TSMY

1703
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

PAS Komited Bersama PN, Dukung Kepimpinan TSMY

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendukung penuh kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menerajui pentadbiran negara sehingga Pilihan Raya Umum ke 15.

Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sah dengan perkenan Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam kuasa melantik Perdana Menteri yang tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Umum mengetahui, Perdana Menteri selaku tonggak negara dan barisan menteri kabinet serta pegawai kerajaan yang berdedikasi telah dan terus komited untuk menjaga kepentingan kesihatan dan ekonomi rakyat bagi menghadapi situasi genting wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda.

Walaubagaimanapun, terdapat kenyataan dan tindakan sebahagian Pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mempertikaikan kesahihan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin. Ini jelas tindakan tidak wajar yang mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong.

Perkembangan yang berlaku di Kedah membuktikan kerjasama Perikatan Nasional semakin kuat dan diterima baik oleh rakyat manakala Pakatan Harapan semakin lemah.

PAS meyakini Perdana Menteri mempunyai sokongan penuh daripada parti gabungan yang membentuk Perikatan Nasional termasuk pemimpin dan ahli akar umbi untuk terus memimpin negara.

PAS komited mendukung kepimpinan yang mengutamakan kepentingan rakyat dan memperjuangkan Perlembagaan Negara; menghormati kesucian agama Islam, hak bangsa Melayu dan Bumiputera, memelihara institusi Raja Berpelembagaan dan terus memperkukuhkan hubungan antara kaum.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Mei 2020 | 20 Ramadan 1441