Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

PAS; King Maker Atau Berkerajaan?

877 views
SHARE

PAS; King Maker atau Berkerajaan?

Oleh Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

1. PAS bakal mencipta sejarah pada PRU ke 14. Dengan calon-calon berlatarbelakangkan akademik yang baik dan profesional tarbawi berwibawa yang bekerja keras di peringkat akar umbi sejak 5 tahun lalu ditampilkan untuk kerusi-kerusi parlimen Melayu khususnya berhadapan dengan UMNO di lebih 110 kerusi parlimen majoriti Melayu, PAS boleh membuat kejutan.

2. UMNO pula berhadapan dengan risiko penyokong yang dibawa lari oleh PPBM yang sudah pasti menguntungkan PAS. Bukan calang-calang pemimpin UMNO yang bersama PPBM. Rafidah Aziz dan Rais Yatim adalah tokoh-tokoh berwibawa. Tiga penjuru PAS vs BN vs PH yang menguntungkan PAS berbanding UMNO!!!

3. UMNO berhadapan dengan isu-isu ketelusan dan ketirisan yang menghantui rakyat sejak berzaman dari zaman Tun Mahathir lagi. Skandal kewangan seperti BMF, Forex, PKFZ, PERWAJA dan terkini 1MDB mencapai kemuncaknya.

4. Isu tadbir urus kewangan dengan hutang kerajaan Persekutuan yang semakin meningkat dari zaman Tun Mahathir yang berjumlah RM90 bilion pada 1997 kepada RM188 bilion pada 2003, seterusnya meningkat kepada RM376 bilion ketika berakhirnya zaman Tun Abdullah pada 2009 dan meningkat kepada RM685 bilion terkini sememangnya menjadi bahan bicara rakyat.

5. UMNO juga dilihat tidak gagah membawa aspirasi Islam berbanding PAS dalam persimpangan mereka menjaga hati dan aspirasi parti-parti lain dalam BN. RUU 355 yang menjadi aspirasi dan harapan masyarakat Islam yang melazimi masjid dan surau terutamanya warga pengamal undang-undang Islam masih di pertengahan jalan.

6. UMNO menyertai PRU ke 14 dengan menanggung bebanan cukai GST yang dibenci oleh rakyat termasuk sebahagian besar penyokong BN sendiri. Turunlah ke kampung-kampung mendengar rintihan rakyat berkaitan GST dan juga kos sara hidup yang semakin meningkat akibat GST. Sejarah parti-parti pemerintah di beberapa negara yang tersungkur dalam pilihanraya umum pasca pelaksanaan GST menghantui juga benak pimpinan BN. Adakah BN mampu mencipta sejarah berbeza dengan terselamat pada pilihanraya umum kali ini?

7. Keberanian rakyat elit dan pertengahan di kalangan ahli perniagaan, profesional di kalangan pengamal undang-undang, jurutera dan pengamal perubatan, ahli akademik bertaraf profesor, guru-guru, bekas pegawai tinggi kerajaan, bekas pegawai pemerintah tentera dan pegawai tinggi pasukan keselamatan mengkritik kerajaan secara terbuka di media sosial benar-benar menakutkan BN.

8. Media sosial berjaya membawa mesej pembangkang sehingga ke akar umbi rakyat menerobos masuk ke felda-felda. Segala berita dan cerita sampai kepada mereka 24 jam sehari sejak bertahun-tahun.

9. Anak-anak muda yang menjadi pengundi kali pertama serta pengundi bawah umur 50 tahun mendominasi bilangan pengundi seramai hampir 15 juta. Mereka generasi yang terdedah dengan keterbukaan dan maklumat. Mereka berani untuk menyatakan tidak kepada kerajaan. Zaman kerajaan mengetahui segala-galanya telah berlalu.

10. Semua senario ini meletakkan PAS yang mempunyai dominasi penyokong terbesar Melayu Islam selepas UMNO sebagai parti yang mempunyai peluang besar pada PRU ke 14 apabila berhadapan dengan UMNO dan PH secara tiga penjuru.

11. Dengan imej bersih pimpinan PAS, dengan kekuatan jentera akar umbi PAS, dengan kekuatan idea yang rasional dan profesional dikemukakan oleh PAS, dengan gabungan kepelbagaian kepimpinan PAS antara yang berilmu agama yang tinggi, latar belakang akademik yang baik, profesional pelbagai bidang, anak muda berketrampilan dan aktivis masyarakat maka PAS sebenarnya berhak untuk menjadi pilihan utama rakyat pada PRU ke 14.

12. Tinggal lagi setelah segala usaha dan strategi dilakukan, setiap ahli dan pimpinan PAS perlu berserah, bertawakkal kepada Allah agar diberikan kemenangan terbaik pada PRU ini demi menobatkan Islam dan demi memberikan kebahagiaan buat rakyat pelbagai bangsa dan agama menerusi penyelesaian Islam.

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WA LILLAHIL HAMD

#Malaysia_Sejahtera

Sekian

Isnin 16hb April 2018