KOTA BHARU: PAS Kelantan akan mempergiatkan usaha bagi mengetengah kejayaan kerajaan Kelantan sejak ditadbir PAS pada Oktober 1990 sehingga sekarang.
Ketua Penerangan PAS negeri Dato’ Panglima Perang Haji Mohd Nassuruddin Daud berkata, kejayaan itu sebelum ini dikongsi melalui pelbagai medium milik kerajaan negeri dan parti untuk dikongsi rakyat di seluruh negara.
Katanya, pada 10 tahun pertama kerajaan Kelantan berjaya merintis 100 perubahan terutamanya perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kerajaan Kelantan melakukan perubahan perkara-perkara yang berada di bawah bidang kerajaan negeri antaranya Pihak Berkuasa Tempatan bagi melarang premis perjudian.
“Begitu juga hiburan yang melampau tidak dibenarkan kerana masih berada di bawah bidang kuasa PBT,” katanya di sini.
Pada Konvensyen Penerangan dan Media Baru PAS Pusat Sabtu lepas dirumuskan resolusi supaya mempromosikan kejayaan kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai platfom media dan semua peringkat parti.
Resolusi juga meminta setiap ahli PAS memperbanyakkan perkongsian bahan penerangan dalam Harakah dan Harakahdaily serta lain-lain media online PAS kepada khalayak awam.
Konvesyen dua hari itu disertai lebih 1,000 peserta dan paling ramai peserta dari Kelantan.
Ustaz Mohd Nassuruddin juga berkata, ahli-ahli PAS hendaklah beriltizam untuk menjadi ejen penerangan yang berkesan dengan konsep semua ahli adalah ejen penerangan.
“Ia selaras dengan gesaan Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya setiap ahli dan penyokong perlu bertindak sebagai agen penerangan,” katanya.
Menurutnya juga penguasaan media baru begitu penting kerana ia menjadi antara faktor kejayaan setiap parti politik bagi menarik sokongan rakyat.
Kata beliau banyak kajian mendapati pengaruh media sosial menjadi tarikan utama kepada anak-anak muda sehingga boleh membentuk gelombang menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Oleh itu beliau berharap jentera penerangan dan ahli-ahli PAS hendaklah proaktif menggunakan media baru termasuk berkongsi maklumat isu semasa yang disiarkan Harakahdaily dan media online milik PAS kepada orang ramai.
Beliau turut menyifatkan konvesyen tersebut sebagai berjaya terutamanya sebagai persiapan awal menghadapi PRU15 tidak lama lagi.
Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, kejayaan kerajaan PAS Kelantan yang dirintis Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sekarang diteruskan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
“Menteri Besar sekarang meneruskan kesinambungan usaha yang dirintis Tok Guru di samping menambah baik lagi dengan agenda Merakyat Membangun Bersama Islam,” ujarnya.