Home Berita PAS Kedah

PAS KEDAH SOKONG TUBUHKAN SIASATAN DIRAJA SIASAT ISU 1.2 JUTA WARGA CHINA TIDAK KELUAR MALAYSIA

137
SHARE

Kami menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu 1.2 juta warga China tidak keluar dari Malaysia seperti yang dijawab oleh Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat baru-baru ini. Rekod daripada Jabatan Imigresen menunjukkan dalam tempoh 2018-2021, 1.2 juta warga China yang masuk ke negara ini tiada rekod keluar.

Situasi tersebut sememangnya membimbangkan kerana jumlah tersebut sangat besar. Lebih merunsingkan, Laporan Ketua Audit Negara 2018 turut mendedahkan lebih 100 ribu pelancong dari negara China dan India tiada rekod keluar atau kira-kira 95 peratus daripada jumlah pelancong yang hadir dari kedua-dua negara.

Penubuhan RCI ini bagi memastikan suatu siasatan yang terbuka dan bebas. Ia perlu berobjektifkan mencari ruang-ruang kelemahan yang ada di pintu masuk negara selain kelompongan sistem kemudahan visa seperti program pengecualian visa (eNTRI) dan Visa Semasa Ketibaan (VOA).

Tambahan lagi, siasatan tersebut juga wajar mendedahkan kewujudan unsur jenayah rasuah dan salah laku sepanjang proses kemasukan ke Malaysia jika ada.

Isu pelancong “hilang” ini terus berlarutan saban tahun. Ia tidak kurang berkait dengan peningkatan jenayah dalam negara melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) selain sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan MyKad. Perkara ini pernah didedahkan sebelum ini sehingga membawa kepada penangkapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang pada tahun 2019.

Sindiket tersebut diikuti dengan pendedahan seorang ahli perniagaan China yang mengaku membeli MyKad dengan harga yang lumayan mencecah RM400 ribu. Tambahan lagi, pihak berkuasa turut berjaya memberkas lebih 600 warga China di Cyberjaya kerana terbabit dengan “scammer”.

Lebih membimbangkan apabila kelompok yang menerima MyKad palsu ini mendapat keistimewaan sebagai warganegara, malah turut diberikan hak untuk mengundi dalam pilihanraya. Maka, langkah proaktif bagi mengatasi isu ini memerlukan kehendak politik yang kuat daripada Kerajaan Persekutuan.

Kesemua ini merupakan rantaian isu yang berlaku dan pernah dilaporkan tahun-tahun sebelumnya. Oleh itu, penubuhan RCI bagi menyiasat dan merungkai kesemua “puzzles” merupakan langkah yang sangat mustahak untuk dipertimbangkan.

Sekian, terima kasih.
YB Senator Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya
Pesuruhjaya PAS Kedah

2 Ogos 2022 / 3 Muharram 1444 H