Home Berita PAS Kedah

PAS Kedah rayu derma fasa ke-2 untuk Palestin

121
SHARE

ROZAIDI TAIB |  20 Mei 2021

ALOR SETAR – Penderitaan rakyat Palestin yang sedang diganyang Israel mendapat sokongan solidariti daripada rakyat negeri Kedah khususnya ahli-ahli PAS. Walaupun jarak negara tersebut jauhnya ribuan batu namun tali silaturrahim sesama Islam mendekatkan hubungan persaudaraan bangsa yang berlainan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad bin Yahaya dalam siaran medianya berkata, PAS Kedah melancarkan fasa ke-2 kutipan yang akan bermula mulai 22 Mei 2021 sehingga suatu tarikh yang akan dimakumlan kelak, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma dan bakal penderma yang prihatin akan penderitaan rakyat Palestin dan berharap usaha kebajikan  ini berterusan bukanlah hanya bermusim.

Katanya, penderma yang ingin membuat sumbangan,  boleh disalurkan melalui beberapa entiti PAS negeri Kedah iaitu pejabat pengurusan Dewan Ulamak Negeri, Dewan Muslimat Negeri, Dewan Pemuda Negeri, PAS Kawasan-kawasan atau Badan Perhubungan PAS Kedah sendiri.

Namun bagi mereka yang terhalang kerana terlibat di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Kota Setar dan Kubang Pasu boleh menyalurkan sumbangan melalui atas talian ke akaun Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK 552170001133 (Maybank).

Terdahulu pada selasa lalu, PAS Kedah dalam kutipan fasa pertamanya berjaya mengumpulkan sebanyak RM1,571,367.10 sumbangan daripada PAS Kawasan-kawasan, NGO, Syarikat serta individu untuk disalurkan ke tabung Malaysia Aid4Palestine.