Home Artikel PAS Melaka

PAS Kawasan Tangga Batu Santuni Masyarakat Tionghua Sempena Tahun Baru

158
SHARE

Oleh: Abu Izzat

TANGGA BATU: Sempena sambutan Tahun Baru Cina 2020, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Tangga Batu Melaka, melalui Lajnah Perpaduan Nasional telah mengadakan kunjungan ziarah menyantuni masyarakat Tionghua di empat buah DUN dalam Parlimen Tangga Batu di sini semalam.

Menurut Pengarah Program, Ramlan Amad, program yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan merealisasikan gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS ) yang diperkenalkan oleh PAS.

“Selain memperkenalkan PAS kepada umum, melalui program ini, masyarakat dapat melihat keterbukaan dan usaha PAS memelihara keharmonian, menghargai serta menghormati budaya-budaya kaum lain sebagai komponen utama masyarakat Malaysia. Hubungan antara kaum yang baik serta sikap toleransi yang tinggi adalah tunjang utama kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara” ujar Ramlan yang juga merupakan Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Tangga Batu.

Program ziarah Tahun Baru Cina ini mendapat sambutan yang sangat baik dari kalangan komuniti masyarakat Tionghua dalam parlimen Tangga Batu. Ramai dari kalangan mereka berasa teruja dan menyatakan penghargaan atas rasa hormat dan sikap saling menghargai yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PAS.

Edaran berupa pek kuih bahulu beserta kad ucapan selamat bersempena kedatangan Tahun baru Cina itu diterima dengan gembira bahkan ada di antara mereka yang memberikan balasan buah tangan berupa limau Mandarin sebagai tanda terima kasih atas kunjungan ziarah PAS Kawasan Tangga Batu.

Turut menyertai program turun padang ini ialah Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tangga Batu Haji Bakri Jamaluddin, Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Ir Mohd Hanim, Setiausaha PAS Kawasan Hassan Md Dahan berserta wakil daripada Dewan Muslimat dan Pemuda PAS Kawasan.