Home Dewan Ulamak PAS Pusat

DUPP : Selamat Tahun Baru Cina

517
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

29 JAMADIL AWWAL 1441H  l  25 JANUARI 2020

SELAMAT TAHUN BARU CINA

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh warganegara Malaysia yang berbangsa cina dalam meraikan kemeriahan agenda tahunan yang disambut secara besar-besaran bersama keluarga dan masyarakat.

2. Islam sebagai agama sejagat tidak menjadikan blok perbezaan bangsa, kaum serta warna kulit sehingga berlakunya jurang antara manusia dari sudut komunikasi dan sektor kehidupan bermasyarakat. Malahan Islam menjelaskan perbezaan secara fitrah kejadian yang diciptakan oleh Allah SWT adalah untuk saling kenal mengenali.

Firman Allah SWT :

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ

Maksudnya :
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” – [Surah Al-Hujurat 13]

3. Sirah Nabi Muhammad menunjukkan bagaimana para sahabat juga terdiri dari kalangan kabilah dan suku kaum yang pelbagai. Malahan semasa pentadbiran kerajaan Islam di Madinah juga, terdiri dari pelbagai kaum serta penganut agama selain Islam yang diberi hak duduk di bawah pemerintahan Islam selagimana memelihara dan menjaga keamanan bersama mengikut lunas Piagam Madinah yang menjadi perlembagaan negara.

4. Islam tidak memusuhi terhadap sesuatu bangsa. Islam menegaskan bahawa larangan melakukan kezaliman atas mana-mana pihak tanpa hak. Malah keadilan yang Islam bawa adalah untuk semua sekalipun terhadap kaum yang bukan menganut Islam. Inilah toleransi Islam yang berprinsip selama mana pihak tersebut tidak memerangi Islam.

Firman Allah SWT :

لَّا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ لَمۡ یُقَـٰتِلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَلَمۡ یُخۡرِجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ

Maksudnya :
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” – [Surah Al-Mumtahanah 8]

5. DUPP meyakini kaum cina adalah sebagaimana kaum lain yang mencintakan kehamonian hidup bermasyarakat dan mengimpikan sebuah negara yang sejahtera. Justeru, DUPP mengajak kepada kepada semua kaum cina agar tidak termakan dengan mana-mana provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan kaum yang akhirnya meretakkan keharmonian antara kaum yang telah dibina selama ini.

6. DUPP menegaskan bahawa Islam agama yang meraikan fitrah dan tidak menghalang sebarang perayaan bersifat adat untuk diharmonikan bersama dengan sifat yang baik antara sesama kaum. Jadikan perayaan seumpama ini sebagai medium menonjolkan izzah Islam dalam mendekati kaum lain dengan sifat ramah, perwatakan baik serta imej yang disenangi.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)