Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH : PAS Cawangan Air Limau mengambil inisiatif membantu meringankan beban rakyat dengan mengedarkan kit bantuan sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurut Ketua Cawangan PAS Air Limau, Jamaruddin Ahmad, PAS Cawangan Air Limau mensasarkan untuk menyedia dan mengedarkan sebanyak 160 kit sehingga berakhirnya Ramadan tahun ini.
Jamaruddin yang juga Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah itu berkata kit bantuan ini adalah hasil sumbangan rayuan infak Ramadan-Aidilfitri di kalangan ahli PAS dan orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan.
“Setakat ni kita sudah berjaya menyediakan 140 kit. Kita dalam usaha untuk mendapatkan lagi dana untuk 20 unit lagi kit ini.
“Kita sudah memulakan pengedaran sejak Rabu minggu ini. Selepas itu memang setiap hari kita teruskan pengedaran sehinggalah ke hari ini. Dan kita akan teruskan sehingga semua kit dapat diserahkan kepada penduduk kampung yang memerlukan.” ujar beliau.
Sementara itu Timbalan Ketua Cawangan PAS Air Limau, Rashidi Zainuddin, yang turut sama mengedarkan kit tersebut berkata setakat ini hanya beberapa kawasan yang belum sempat diedar lagi.
“Kita masih belum edar di Kampung Pinang, Air Limau dan sebahagian Bukit Apit. Setakat hari ini kita sudah pun mengedarkan sebanyak kit ini ke 83 buah rumah di dalam cawangan ini. Kita akan sambung lagi edaran esok dan hari-hari seterusnya sehingga selesai.” Kata Rashidi ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka seusai program.
Turut serta di dalam program edaran ini ialah Pengerusi Majlis Tindakan Dun PAS Air Limau, Cikgu Arshad Md Som, yang juga merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.