Home Khas

PAS bersedia jadi rakan dialog Kerajaan Persekutuan.

168 views
SHARE

Kejayaan PH menumbangkan Umno dan BN telah membuka era baru dalam politik negara.

Sejajar dengan konsep federalisme yang menekankan pentingnya hubungan yang baik antara kerajaan pusat dan negeri, PAS akan meneruskan kerjasama yang baik dengan kerajaan pusat yang kini diterajui Pakatan Harapan. Malah lebih dari itu, PAS bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara di bawah konsep taawun siyasi.

Selaras dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang menjadi pendekatan PAS kini, PAS akan menyokong dasar kerajaan yang mendorong ke arah kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah. Manakala, di sudut yang lain
PAS sedia menjadi pembangkang yang konstruktif dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara.

Pendekatan politik semak dan imbang ini akan membantu kerajaan dalam melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.

PAS dengan dasar Islam yang dibawa akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum, memperkasakan jati diri rakyat Malaysia khasnya di kalangan umat Islam.

Walaupun PAS bukan sebahagian dari Pakatan Harapan yang menerajui negara, namun kejayaan PAS di dua negeri iaitu Terengganu dan Kelantan, memperoleh 90 ADUN dan 18 Ahli Parlimen dengan sokongan 2 juta lebih pengundi bukanlah angka yang kecil. Maka langkah terbaik ialah menjadikan PAS rakan dialog di negeri dan persekutuan.

Kini seluruh rakyat mengharapkan semua parti politik bergerak ke hadapan bagi menjamin segala janji dan manifesto jerajaan dilaksanakan.

Budaya politik konflik, fitnah dan bertembung perlu ditinggalkan dan ianya hanya melahirkan sikap bosan dan menyampah di kalangan rakyat.

Peranan PAS sebagai rakan dialog dan juga pembangkang yang berkesan pastinya adalah situasi menang-menang untuk rakyat dan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi oleh PH.

Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
20 Mei 2018