Home Berita PAS Kedah

Panggilan tinggi punca kelewatan maklum balas PKOB

128
SHARE

ALOR SETAR – Kelewatan maklum balas oleh Pusat Kawalan Bencana (PKOB) Kota Setar terhadap aduan awam diterima adalah disebabkan jumlah panggilan tinggi diterima setiap hari.

Exco Penerangan Kerajaan Negeri, Wan Romani Wan Salim menjelaskan, mutakhir ini PKOB Kota Setar menerima 500 panggilan sehari yang dikendalikan oleh tiga petugas menanganinya.

“Selepas mendapat butiran pemohon, data itu terus disaring oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setelah selesai barulah pasukan sebaran dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibantu Jabatan Amal mengadakan penghantaran sumbangan,” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, pihak PKOB Kota Setar sedaya upaya memenuhi atau menyelesaikan setiap permohonan atau aduan penduduk tanpa mengenepikan atau mengabaikan.

Beliau sendiri hadir melihat pengoperasian tersebut menyaksikan kesungguhan komitmen para petugas PKOB itu yang nyata bertungkus-lumus memenuhi setiap keperluan atau aduan.

Sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada petugas yang dimaklumkan kepadanya bekerja walaupun ketika hujung minggu, Wan Romani memberikan sumbangan peribadi RM2,000 dan makanan tengah hari.

Berada sama ketika kedatangan beliau adalah Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman dan Penolong Pegawai Tadbir Kanan Pejabat Daerah Kota Setar, Suriyawati Abdul Hamid.

“Para pemohon yang mengalami masalah berhubung dengan PKOB Kota Setar disarankan alternatif, boleh berhubung dengan Ketua Kampung masing-masing untuk disalurkan ke PKOB,” ujarnya yang juga ADUN Bukit Pinang.