Home Berita PAS Kelantan

Pameran Keris Tokoh Kelantan, bermula hari ini

432
SHARE

KOTA BHARU, 15 Dis: Bertemakan ‘Memartabatkan Warisan Seni Keris Melayu’, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan menganjurkan pameran koleksi Keris Tiga Tokoh Negeri Kelantan bermula hari ini hingga 15 Februari 2022.

Pameran secara percuma tersebut berlangsung di ruang legar Muzium Negeri mempamerkan koleksi 77 bilah keris terpilih milik Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), YB Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, YB Mejar ( B ) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.

Dato’ Md Anizam memaklumkan antara objektif pameran ialah untuk mengajak masyarakat berfikir bahawa kesenian keris Melayu ini begitu halus dan mempunyai makna yang tersendiri.

“Dalam masyarakat Melayu, walaupun menghasilkan barangan yang boleh mendatangkan kecederaan kepada sesiapa sahaja, namun barangan tersebut dihasilkan dengan penuh ketelitian dan kehalusan. Ini memberi maksud, jiwa Melayu itu sendiri begitu lembut dan berseni’, katanya yang turut mempersilakan orang ramai hadir untuk sama-sama memartabatkan dan melihat sendiri keunikan keris dan senjata Melayu berusia lebih 100 tahun yang bakal dipamerkan selama dua bulan.