Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Pak Subky Mutiara PAS yang Cukup Berharga Buat Perjuangan Ummah

1433
SHARE

Pak Subky Mutiara PAS yang Cukup Berharga Buat Perjuangan Ummah

Jam 11.05 pagi 23 Jun 2020 bersamaan 1 Zulkaedah, kita menerima khabar duka kematian tokoh as-sabiqun (orang lama dalam PAS) yang lebih dikenali dengan nama ‘Pak Subky’.

Subhanallah beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya walaupun sudah menginjak usia 80 tahun dengan masih meneruskan perjuangan bersama PAS seperti ketika pada zaman mudanya. Usia lanjut langsung tidak menghalang darah juang yang mengalir dalam dirinya untuk terus-menerus mendokong gerakan Islam ini.

Sering sahaja kita melihat sosok al-Marhum dalam program-program rasmi parti termasuk Liqa’ Fikri dan Mesyuarat PAS Pusat, tetap juga bersemangat dan teguh melontarkan buah fikir dan idea khusus buat generasi baharu yang bakal mewarisi perjuangan beliau. Walaupun ada ketikanya lenggok bahasanya sedikit mendatar atas faktor usia, namun semangatnya tetap kelihatan.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat (1983-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (1988), Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan (2007) dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat dan terakhir sebagai Pengerusi As-Sabiqun PAS Pusat, di samping sangat aktif menulis coretan nasihat dan pedoman tentang perjuangan dan politik.

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan salam takziah terutama buat isteri tersayang yang kami gelar sebagai ‘Kak Nah’, Puan Hajah Naznah binti Dato’ Taha serta anak-anak dan seluruh ahli keluarga atas pemergian sebutir mutiara PAS yang sungguh berharga ini.

Semoga kita semua terutama generasi muda dapat mengambil iktibar daripada Pak Subky yang istiqamah dengan perjuangan PAS hingga ke akhir usia, di samping menabur jasa bakti yang sungguh bernilai sesuai dengan kemampuan beliau iaitu aktif dalam bidang penulisan.

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
23 Jun 2020, 1 Zulkaedah 1441