بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam Sejahtera…
Nama saya Ahmad Nawfal Bin Mahfodz, berusia 34 tahun, sudah berumahtangga (seorang isteri dan 2 orang anak).
Mendapat pendapat pendidikan awal antaranya dari Maahad Hamidiah, Kajang. Seterusnya mengambil Diploma Perakaunan dari UiTM Segamat dan melanjutkan lagi pengajian ke jurusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dari UiTM Shah Alam.
Saya sempat berkhidmat di Proton Centre Of Excellent (COE), Shah Alam semasa menjalankan latihan industri sebelum dipanggil balik berkhidmat di Mahaad Tahfiz Al-Quran Al-Muhammadi (MTQM), Kg Parit Medan, Kundang Ulu.
Mungkin ada yang musykil kenapa saya yang berkelulusan pengurusan perniagaan bertugas di pusat tahfiz? Untuk makluman, ini adalah antara langkah awal saya pilih untuk menyumbang kepada pembangunan anak bangsa dan islam selain pernah memegang beberapa jawatan dalam kampus seperti AJK BADAR Kolej Kediaman, TYDP Kolej Kediaman, Presiden Persatuan Pemasaran, dan beberapa lagi sumbangan kecil.
Mengambil nasihat dan saranan Al-Marhum Ust Fadhil Noor (mantan Presiden PAS), ia menjadi kekuatan kepada saya untuk menyumbang bidang profesional kepada pembangunan agama (dan sebaliknya) : “Ulama’ Profesional, Profesional Ulama'”
Sebelum saya menjadi Timbalan Pengetua, saya telah membuat keputusan untuk menambah sedikit ilmu agama. Maka saya sempat mengambil Sijil Bahasa Arab Yaman dari Maahad Yaman Lil Lunghatul Arabiah, Sana’a. Walaubagaimanapun, ketika pergolakan di Yaman saya terpaksa pulang walaupun baru menamatkan 7 dari 9 persijilan yang ditawarkan.
Sekarang (sebelum dicalonkan PRU) saya adalah Timbalan Pengetua (Timbalan Mudir) di MTQM sejak akhir 2014.
Memulakan berkecimpung secara langsung bersama PAS pada 2008 sebagai AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan Pagoh (DPPK Pagoh) dan seterusnya Ketua Pemuda DPPK Pagoh sebelum dipilih menjadi Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) pada 2013-2015. Selepas beberapa pimpinan memilih keluar parti, saya telah memangku jawatan Timbalan Ketua Pemuda DPPNJ sebelum diangkat melalui Mesyuarat Agung sebagai Timbalan Ketua Pemuda DPPNJ bagi sesi 2017-2019.
Pengalaman yang luas bersama masyarakat di Pagoh atas logo PAS dan juga keterlibatan secara peribadi, menjadi bekalan untuk saya bersetuju dipilih sebagai calon PRU kali ini. Semoga masyarakat di Pagoh keseluruhannya bersedia melakukan perubahan untuk memilih PAS pada PRU-14 kali ini selepas melihat sendiri kecelaruan parti pemerintah (kerajaan) sebelum ini dan ketidak stabilan parti politik baru yang cuba muncul. Maka saranan saya, ayuh bersama saya dan PAS untuk merealisasikan Malaysia Sejahtera.
P.143 Pagoh
Ahmad Nawfal Bin Mahfodz