Home Artikel PAS Melaka

OKU, Asnaf, Warga Emas Terputus Bekalan Makanan Dibantu PAS Kota Melaka

331
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA : Wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini memberi tamparan hebat kepada rakyat khususnya golongan asnaf, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan juga warga emas.

Menyedari perkara ini, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Kota Melaka telah menyumbang bantuan barang dapur kepada mereka di daerah ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini semalam.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Kota Melaka, Noorfazilah Ismail berkata, langkah itu diambil memandangkan golongan tersebut berdepan masalah terputus bekalan makanan susulan PKP dikeluarkan kerajaan berikutan penularan COVID-19.

‘’OKU dan warga emas, sudah pasti amat sukar untuk mereka bergerak bagi mendapatkan keperluan dapur. Bagi golongan asnaf, pasti kekangan kewangan memberi tekanan kepada mereka,” ujar beliau.

Tambah Noorfazilah, beliau amat berharap dengan inisiatif ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka.

Para dermawan yang ingin bersama meringankan beban insan-insan kurang berkemampuan ini boleh memberi sumbangan menerusi akaun CIMB – 860 116 3036 atas nama PAS KAWASAN KOTA MELAKA.

Beliau yang turut mewakili PAS Kawasan Kota Melaka turut menyeru rakyat Malaysia menjayakan pelaksanaan PKP bagi memutuskan rantaian COVID-19 yang melanda negara.