Home Setiausaha Agung PAS

Oktoberfest: Penjelasan SU Agung PAS

4,632 views
SHARE

SAYA ingin menjelaskan mengenai kenyataan saya yang disalah ertikan mengenai penganjuran “OKTOBERFEST”

Saya ingin menyatakan kenyataan lisan saya kepada pihak media telah tidak disiarkan sepenuhnya dan “dipetik di luar dari konteks sebenar”.

Semasa menjawab soalan media saya menyatakan seperti berikut:

(i) Kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak pernah mengharamkan arak untuk dijual dan diminum oleh masyarakat Bukan Islam yang berhajat, malah pihak PBT mengeluarkan secara terkawal permit dan lesen perniagaan kepada peniaga Bukan Islam dengan syarat-syarat yang ditetapkan terutama tidak melibatkan langsung orang Islam;

(ii) Masyarakat Bukan Islam juga boleh mengadakan majlis yang menghidangkan arak dengan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan terutama tidak melibatkan langsung orang Islam.

Secara umum saya juga mengatakan sekiranya majlis atau pesta yang melibatkan arak mematuhi syarat-syarat seperti yang diperkenalkan dan ditetapkan oleh PBT di Kelantan ianya dianggap memenuhi peraturan tersebut dan boleh dibenarkan.

Saya juga dalam kenyataan tersebut menyatakan dengan tegas apa-apa majlis yang melibatkan arak tidak boleh dianjurkan sekiranya suasana penganjurannya boleh menimbulkan keresahan, kacau ganggu, menyentuh sensitiviti dan menimbulkan kekacauan.

Saya menegaskan saya mahupun PAS tidak pernah mengatakan sokongan kepada “Oktoberfest”, malah menyatakan sekiranya ia menimbulkan masalah dan mengancam ketenteraman awam, maka PAS akan menentang habis-habisan.

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 16 Oktober 2018