KENYATAAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
1. Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong kenyataan Menteri Agama yang menghalang penganjuran Oktoberfest kerana ia dilihat sebagai promosi arak secara terbuka yang bakal mengundang gejala sosial yang serius. Larangan ini bukan bermakna kerajaan menghalang orang bukan Islam untuk minum arak.
2. Umum sudah sedia maklum bahaya arak bukan sahaja mengundang bahaya kepada peminum sahaja tetapi ia telah terbukti membawa kemudharatan kepada keluarga dan masyarakat. Antara isu yang melibatkan pemabuk ini adalah kes keganasan rumahtangga dan kemalangan jalanraya berkaitan pemabuk. Malahan kes berkaitan pemandu mabuk semakin meningkat sejak tahun 2018. Malahan sejak tahun 2020 kes berkaitan pemandu mabuk meningkat sehingga pada dua suku pertama sama jumlah dengan keseluruhan kes pemandu mabuk pada tahun sebelumnya.
3. Biarpun dikatakan Oktoberfest dikaitkan dengan penganjuran perayaan di German yang dirayakan di Munich, Bavaria semenjak tahun 1810 namun perayaan tersebut sekarang telah dikaitkan dengan arak dan festival funfair setelah kejayaan penganjuran melibatkan pesta arak pada tahun 1910 yang menarik perhatian ramai. Ia merupakan pesta arak selama 16 hingga 18 hari di mana syarikat arak akan menaja arak untuk perayaan tersebut. Perayaan tersebut telah mengundang 5 hingga 6 juta pengunjung pada setiap tahun ke German.
4. Sesungguhnya Dewan Muslimat PAS Malaysia merasakan penganjuran program seumpama itu adalah sangat bertentangan dengan nilai ketimuran yang dipegang oleh rakyat kita selain menyebabkan rakyat Malaysia terdedah dengan budaya tidak sihat. Oleh kerana itu, penganjuran Oktoberfest haruslah ditentang sama sekali dan tidak harus dibiarkan menjadi tradisi yang berakar di negara ini.
‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’
‘Islam Menyatukan Ummah’
YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
3 Ogos 2022 | 5 Muharram 1444H