Saya menyambut baik tindakan Jabatan Kerja Raya Jajahan Kuala Krai yang mengeluarkan notis pemberhentian sementara projek jambatan Kenor – Kuala Krai.
Pemberhentian sementara ini berkait rapat sempena Hari Raya Aidilfitri 1439.
Seperti yang sedia maklum sebelum ini bahawa setiap kali musim perayaan, Jalan Kuala Krai – Gua Musang dan Kuala Krai – Kota Bharu merupakan antara laluan paling berisiko mengalami kesesakan lalu lintas kerana ianya merupakan laluan utama untuk anak-anak Kelantan pulang berhari raya.
Semoga dengan pemberhentian sementara projek tersebut, trafik pada musim perayaan kali ini akan lebih lancar dan teratur.
Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Sdra Hilmi Abdullah, Adun Guchil atas inisiatif mencari jalan penyelesaian bersama-sama dengan pihak JKR Kuala Krai.
Sempena musim perayaan kali ini juga, saya menyeru kepada semua anak perantau yang akan pulang berhari raya nanti agar memandu dengan penuh cermat dan berhemat. Ingatlah keluarga tersayang.
Saya juga mengambil kesempatan ini agar kerajaan baharu di Putrajaya melihat permasalahan kesesakan pada musim perayaan ini dengan lebih serius dan terbuka. Adalah menjadi harapan saya agar pihak kerajaan juga segera meluluskan peruntukan tambahan membina jambatan sementara untuk projek jambatan Kenor ini yang akan mengambil tempuh pembinaannya sehingga awal tahun 2020.
Sekian.
Abdul Latiff Abdul Rahman
Ahli Parlimen Kuala Krai
25 Ramadan 1439