Home Berita PAS Kelantan

Non-muslim turut pertahan Kelantan

1551
SHARE

KOTA BHARU: Masyarakat Cina, Siam, India dan Orang Asli di Kelantan turut mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.

Mereka akan menzahirkan komitmen tersebut pada Himpun Bangkit Pertahan anjuran kerajaan negeri pada 16 Mac ini di Padang Perdana.

 Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, masyarakat terbabit akan hadir pada program berkenaan bagi sama-sama mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Katanya, penduduk Orang Asli dari Gua Musang akan menyewa bas untuk datang pada program tersebut dengan kerjasama PAS kawasan tersebut.

“Begitu juga masyarakat Cina, Siam dan India akan turut mempamerkan kesungguhan mereka mempertahan kerajaan negeri,” katanya di sini.

Himpunan Bangkit Pertahan bermula jam 9 pagi dengan kuliah selebriti dakwah, Ustaz Azhar Idrus.

Sebelum ini orang ramai yang hadir akan mengikuti kemerduan bacaan al Quran oleh johan tilawah al Quran antarabangsa, Ustaz Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dan Johan Tilawah Peringkat Negeri 2017, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.

Pada sebelah petang pula akan diadakan program belia di Padang Perdana dan muslimat di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).

Pada 6.30 petang akan diadakan jamuan rakyat. Kuliah Maghrib akan disampaikan mantan Mufti Kedah, Dato’ Syeikh Dr Muhammad Baderuddin Ahmad.

Solat hajat pula akan diimamkan Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Muhammad.

Acara kemuncak dimulakan persembahan lagu tema Bangkit Pertahan oleh Shoutul Amal dan wakil kaum dan NGO pula akan berucap mewakili kelompok masing-masing.

Ucapan pimpinan pula membariskan bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, wakil masyarakat Cina dari Pulau Pinang.

Selain itu Timbalan Menteri, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. –HARAKAHDAILY 7/3/2018