Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Non Muslim Lebih Terjamin Di Bawah Payungan Islam

1171
SHARE

RISALAH UNTUK PENGUNDI

Bilangan: 13

NON MUSLIM LEBIH TERJAMIN DI BAWAH PAYUNGAN ISLAM

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Perjuangan Islam adalah berbeza dengan ideologi barat yang berkonsepkan kebebasan mutlak. Perjuangan Islam memayungi semua manusia termasuk kalangan non muslim. Ini kerana semua hamba Allah layak mendapat rahmat-Nya di dunia ini atas ihsan-Nya. Sebab itu, Islam tidak bersifat sebagaimana nasionalisme yang memperjuangkan blok perkauman dan bangsa. Tetapi Islam meninggikan aqidah dan menyelamat ummah daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Allah SWT berfirman sebagaimana dalam hadith Qudsi:

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا 

“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas Ku dan Aku jadikannya di antara kamu juga haram, maka janganlah kamu saling melakukan kezaliman.” [Riwayat Muslim]

2. Sehubungan dengan itu, tuntutan berbuat baik tidak hanya kepada sesama muslim, bahkan meliputi ke atas non muslim. Allah SWT berfirman:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” [al-Mumtahanah: 8]

3. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terdapat pelbagai kaum dan anutan kepercayaan bukanlah menjadi suatu kekangan dalam pelaksanaan tuntutan Islam. Negara Islam di Madinah yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW, juga terdapat ramai kalangan Yahudi dan bukan Islam. Payungan Islam di Madinah memberikan hak mereka mendiami, bekerja, melakukan aktiviti di Madinah selagi tidak mengganggu gugat keamanan negara. Bahkan Nabi Muhammad SAW secara tegas melindungi non muslim di bawah pentadbiran negara Islam sebagaimana sabdanya:

من آذى ذميًا فقد آذاني ومن آذاني فقد آذى اللهَ

“Siapa yang menyakiti zimmi maka dia menyakitiku, dan siapa menyakitiku maka dia menyakiti Allah.” [Riwayat at-Tabrani]

4. Semasa PAS mengusulkan RUU 355, secara jelas ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja. Islam tidak memaksa non muslim malah mereka diberi ruang dibicara mengikut kaedah anutan agama mereka. Secara praktikalnya, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya غير المسلمين في مجتمع إسلامي semasa di zaman Khilafah Uthmaniyyah juga terdapat dua mahkamah yang berbeza mengasingkan perbicaraan antara kaum muslim dan non muslim.

5. Melalui kisah pertikaian baju perang antara Sayyidina Ali dengan seorang yahudi, dapat dilihat hak keadilan kepada non muslim dalam pengadilan. Hakim Syuraih menetapkan hak baju besi kepada yahudi tersebut setelah Sayyidina Ali tidak mempunyai bukti kukuh bahawa baju tersebut miliknya. Hal ini menjadikan yahudi yang sebenarnya mencuri baju tersebut kagum dengan keadilan sistem kehakiman dalam Islam yang tidak bersifat kroni dan berkepentingan tertentu.

6. Pengundi non Muslim tidak perlu khuatir dan usah terpedaya dengan mana-mana provokasi yang disebar melalui media sosial. Jika mahu lihat kehidupan non Muslim yang sejahtera dan terjamin haknya, silalah hadir ke Negeri Kelantan Darul Naim melihat pentadbiran di bawah kepimpinan PAS sejak 1990 sehingga kini yang memberi hak kebajikan sama rata dan keadilan kepada masyarakat bukan Islam.

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

17 Syaaban 1439H / 3 Mei 2018 (Khamis)

 

Muat turun dokumen (versi PDF) bagi tujuan cetak & sebaran kepada pengundi PRU14 di pautan berikut:



risalah untuk pengundi – bil 13