Home Berita PAS Perlis

Baiah Bukti PAS Sangat Teliti Soal Kepimpinan

798
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

ARAU : Rahsia kekuatan PAS adalah kemampuan parti tersebut melantik pemimpin yang mempunyai integriti, sahsiah dan memiliki kekuatan roh serta jiwa mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.

Demikian dinyatakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketika menyampaikan ucapan di Balai Islam MADI, sempena lawatan sehari beliau pada 2 Mei yang lalu.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hj. Hashim Jasin serta semua calon Pilihan Raya Umum Ke-14 PAS Perlis bagi kerusi Parlimen dan DUN.

Beliau berkata, urusan kepimpinan bukan semata-mata soal kuasa memerintah, tetapi turut terikat dengan persoalan hukum serta amanah daripada Allah S.W.T.

Tambah beliau, PAS amat teliti dalam memutuskan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kerana sekiranya menang nanti, mereka adalah duta-duta parti yang akan menggalas amanah kepimpinan yang sangat besar.

Justeru katanya, PAS telah menetapkan setiap calon yang terpilih mestilah berbaiah sebagai suatu bentuk perjanjian bahawa mereka akan menggalas amanah parti dengan bersungguh-sungguh serta tidak mengkhianatinya.

“Dalam Quran, Allah ajar kepada kita bagaimana hendak memerintah, iaitu orang-orang yang diberikan kuasa memerintah, mereka mestilah mendirikan solat, yakni mempunyai hubungan dengan Allah S.W.T.

“Di atas dasar ini, maka setiap calon yang dilantik dalam pilihan raya mesti dibuat baiah.

“Baiah ini apa, baiah ini maksudnya jual, yakni jual diri dan harta kepada Allah S.W.T, sanggup berkorban bagi menjalankan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T.,” ujarnya.

Mengulas isu negara berkebajikan, Tuan Guru Presiden PAS menyatakan bahawa PAS komited untuk menghapuskan sistem percukaian yang tidak mengikut acuan Islam.

Mengambil GST sebagai contoh, beliau menjelaskan betapa rakyat khasnya yang berpendapatan rendah, terpaksa menanggung sengsara disebabkan kenaikan harga barangan serta perkhidmatan, hasil daripada cukai yang dikenakan oleh kerajaan.

Jelasnya, Islam memiliki sistem percukaiannya yang adil di mana cukai hanya dikenakan kepada golongan yang kaya manakala rakyat yang tidak berkemampuan terlepas daripada bebanan tersebut.