Home Berita PAS Sarawak

NGO Islam Bintulu Anjur Himpunan Selamatkan Palestin

1342
SHARE

Bintulu, 15 Disember 2017 – Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak (YAMCS) bersama NGO-NGO Islam telah berjaya menganjurkan Himpunan Aman Selamatkan Palestine peringkat Bintulu. Himpunan yang bertempat di Masjid Asyakirin tersebut telah mendapat sambutan dan penyertaan daripada para jemaah masjid selepas selesai bersolat Jumaat.

Himpunan ini telah dijayakan dengan penglibatan beberapa NGO Islam Sarawak dan tempatan. Menurut wakil Yayasan Amal Malaysia, Tuan Haji Khairul Ismail menyatakan bahawa himpunan tersebut bertujuan untuk mengajak umat Islam bagi sama-sama menyatakan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat yang mengisytiharkan BaitulMaqdis sebagai ibu negara Israel. Manakala, menurut Imam Masjid Asyakirin, Ustaz Aminuddin yang juga mewakil NGO Aqsa Syarif turut menyatakan bahawa umat Islam perlu menyuarakan sokongan kepada saudara seIslam di Palestine yang sedang berjuang mempertahankan negara mereka.

Peserta himpunan turut menurunkan tandatangan bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat tersebut. Masing-masing kelihatan begitu bersemangat serta melaungkan kalimah takbir dan wehdah serta kata-kata semangat untuk Palestine. Menurut salah seorang peserta himpunan, saudara Khusni Jerman, dia berasa sangat terharu namun tetap bersemangat kerana himpunan seperti ini sebenarnya mampu menyatukan umat Islam di Bintulu dan Sarawak amnya. Seterusnya, Hj Khairul turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua NGO dan peserta yang telah memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan himpunan tersebut.