PASIR MAS, 20 Mac: Timbalan Exco Belia, Sukan dan NGO, YB Zuraidin Abdullah menyeru lebih ramai penggerak badan bukan kerajaan (NGO) menggembleng tenaga bersama agensi kerajaan dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan di luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok berkata demikian ketika merasmikan Program Cakna Pengguna, Komuniti Sejahtera peringkat jajahan Pasir Mas, anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dan Kelab Komuniti Tani-ternak Pasir Mas (KITABINA) di perkarangan pejabat operasi KITABINA, semalam.
Menurutnya, program yang bermanfaat kepada rakyat sebegitu amat diharapkan oleh Kerajaan Negeri. Lebih-lebih lagi melibatkan gabungan mantap antara agensi Kerajaan Persekutuan dan NGO.
Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa mengharapkan kedua-dua pihak itu menjadi perantara yang membantu Kerajaan Negeri memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dalam memajukan Kelantan selari dengan dasar Membangun Bersama Islam.
“Tahniah kepada KPDNHEP Kelantan dan KITABINA atas penganjuran bersama program kemasyarakatan untuk memperkasa rakyat supaya lebih cakna dan berdaya upaya dalam pelbagai aspek khususnya hak dan perlindungan pengguna, terutamanya penduduk kampung.
“Hal ini bertepatan dengan program Persidangan Badan-badan Bukan Kerajaan 2021 (SIDANG 21): Kongres Pendidikan Rakyat anjuran Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS) yang bakal berlangsung pada 2 April 2022,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Pendayaupayaan Pengguna (KPDNHEP Kelantan), Siti Nurhajar Yusof memaklumkan program tersebut dilaksanakan sempena sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) rentetan pengisytiharan Mac sebagai Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) oleh jemaah menteri yang bermesyuarat pada 11 Disember 2020.
“Sayangnya, sambutan bagi tahun 2021, terpaksa ditangguhkan lantaran penularan wabak COVID-19. Alhamdulillah, tahun ini, KPDNHEP Kelantan bersama NGO terpilih berjaya melaksanakan sambutan HPK buat julung-julung kalinya di Kelantan walaupun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.
Program bermula dengan pendaftaran kehadiran dan agihan sarapan seawal pukul 8.00 pagi kemudian ditamatkan tepat pada pukul 12.50 tengah hari sejurus selesai majlis penyampaian hadiah dan cabutan bertuah kategori utama.
60 peserta mengambil bahagian dalam acara kesukaan ramai iaitu pertandingan mewarna kategori dewasa dan kanak-kanak serta memasak menu berasaskan cendawan.
15 peserta kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun terlibat dalam acara ujian kecerdasan minda yang dikehendaki berzikir sambil menggerakkan anggota badan secara berselang-seli mengikut arahan ketua di posisi bertentangan.
Di samping itu, jualan minyak masak berkualiti dengan pakej terhad RM10 untuk 4 kilogram bagi setiap pembeli, turut diadakan.
Manakala pembelian minyak masak terpakai daripada penduduk bagi tujuan kitar semula sempena Kempen Kelantanku Bersih pula ditawarkan harga menarik.