Home Berita PAS Kelantan

Naik taraf Kolam Air Panas Tok Bok 95 peratus siap

636
SHARE

MACHANG, 26 Jul: Projek naik taraf Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tok Bok yang berkeluasan lima ekar, 95 peratus siap dan ianya bakal menjadi mercu tanda baharu di Machang.

Menurut Pihak Majlis Daerah Machang (MDM), projek naik taraf tempat tersebut RM4.6 juta diperuntukkan daripada Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan RM200 ribu didanai Jabatan Landskap Negara (JLN).

Antara komponen yang dinaik taraf ialah kolam air panas secara berasingan jantina. Manakala pada setiap bahagian lelaki dan perempuan disediakan satu kolam besar dengan kedalaman tiga kaki dan dua kolam refleksologi.

Di samping itu, turut disediakan kemudahan lain seperti dua unit kafeteria, lapan unit kiosk, sembilan unit kedai makan, menara tinjau, surau, taman permainan, pentas dan dataran terbuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin berkata pengunjung juga berpeluang untuk menginap di situ kerana sembilan unit chalet yang diubah suai dari kontena turut disediakan.

“Pakat jaga kebersihan dan keindahan taman rekreasi kita agar ianya dapat memberi keselesaan kepada semua,” katanya ketika dihubungi, semalam.