Home Artikel PAS Johor

NAIB KETUA DEWAN ULAMA PAS SEMPURNAKAN PELANCARAN PREMIS PRODUK MUSLIM

189 views
SHARE

NAIB KETUA DEWAN ULAMA PAS SEMPURNAKAN PELANCARAN PREMIS PRODUK MUSLIM

Tebrau, 13 Ogos – Majlis pelancaran premis Sinar Dhuha Tebrau Mart berlangsung meriah dan lancar walau dibuat dalam skala kecil. Majlis tersebut dibuat di hadapan premis berkenaan serentak dengan perasmian cawangan PASTI Al-Irfan Tebrau yang ke-14 selepas Zohor baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tebrau, Al-Fadhil Ustaz Dr Izzul Iman At-Tebrawi dan diteruskan dengan ucapan aluan berkaitan kefardhuan menyokong dan membeli produk muslim yang halalan toyyiban. “Itu yang amat dituntut oleh syarak kerana mencari yang halal itu wajib”, tegas beliau kepada para hadirin.

Acara diteruskan dengan taujihad yang disampaikan oleh , Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Al-Fadhil Ustaz Khirul Muntanazar Ismail berkongsikan maksud perhimpunan agung manusia di padang Arafah pada 9 Zulhijjah setiap tahun sebagai mukaddimah. Perhimpunan bukan sekadar simbolik kepada perhimpunan ketika di mahsyar nanti, bahkan ia memberi maksud Islam pada hari ini mampu menjadi gemilang seperti di zaman Rasulullah SAW melalui kesatuan ummah atas dasar Islam.

“Ambillah peluang yang ada untuk kita manfaatkan sebaiknya bagi melaksanakan syariat Allah SWT walaupun kita pada hari ini hanya penyumbang paling kecil”, sambung beliau di dalam penyampaiannya. Beliau juga selaku Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tebrau mengaitkan peranan yang perlu dimanfaatkan dalam konteks produk muslim dan kefardhuan mencari yang halal. Kisah seekor burung cuba memadamkan api marak yang membakar Nabi Ibrahim AS dijadikan sebagai motivasi kepada para hadirin.

Beliau sempat berkongsi sedikit pengalaman dan kesukaran sewaktu hendak merealisasikan pembukaan Sinar Dhuha Tebrau Mart ini, betapa pengorbanan dari sudut kewangan, masa dan tenaga itu perlu dalam usaha menjayakannya. Namun, atas dasar ingin membangun sesuatu yang patuh syariah, Allah SWT pasti bantu dengan jalan yang tidak disangka-sangka.

Beliau juga mengalukan kehadiran Wanita UMNO Bahagian Tebrau, Puan Hajah Nora, dan beberapa AJK nya di dalam majlis tersebut. Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Dr Mahfodz Muhamad turut bersama kerana merasmikan cawangan baru PASTI Al-Irfan Tebrau yang ke-14. Sebagai menutup majlis pelancaran, acara memotong bunting pelancaran dijadikan gimik yang disempurnakan sendiri oleh Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiusaha Politik kepada Pesuruhjaya PAS Johor, Zaini Hussein, beberapa saf pimpinan dan AJK PAS Kawasan Tebrau, Dewan Pemuda PAS Kawasan  Tebrau, dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau. Di akhir majlis, para hadirin dijamu dengan jamuan hasil dari ibadah korban PAS Cawangan Taman Desa Jaya.