Home Artikel PAS Johor

CAWANGAN BARU PASTI DIRASMI KETUA PEMUDA

144 views
SHARE

CAWANGAN BARU PASTI DIRASMI KETUA PEMUDA

Tebrau, 13 Ogos – Majlis perasmian PASTI Al-Irfan 14, Taman Desa Jaya berlangung meriah sekalipun dibuat secara kecil-kecilan baru-baru ini. Perasmian disempurnakan di perkarangan premis PASTI cawangan baru yang juga menempatkan kedai jualan produk muslim, Sinar Dhuha Tebrau Mart.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa pembukaan dan ucapan aluan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tebrau, Al-Fadhil Ustaz Dr Izzul Iman Al-Tebrawi tentang kefardhuan memartabatkan institusi pendidikan pra-tahfiz dan teras Islam di semua peringkat bermula dari kanak-kanak.

Acara diteruskan dengan taujihad ringkas oleh Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tebrau, Al-Fadhil Ustaz Khirul Muntanazar Ismail berkongsikan maksud perhimpunan agung manusia di padang Arafah pada 9 Zulhijjah setiap tahun sebagai mukaddimah. Perhimpunan bukan sekadar simbolik kepada perhimpunan ketika di mahsyar nanti, bahkan ia memberi maksud Islam pada hari ini mampu menjadi gemilang seperti di zaman Rasulullah SAW melalui kesatuan ummah atas dasar Islam.  

“Ambillah peluang yang ada untuk kita manfaatkan sebaiknya bagi melaksanakan syariat Allah SWT walaupun kita pada hari ini hanya penyumbang paling kecil”, sambung beliau di dalam penyampaiannya. Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat mengaitkan peranan yang perlu dimanfaatkan dalam konteks pendidikan Islam. Kisah seekor burung cuba memadamkan api marak yang membakar Nabi Ibrahim AS dijadikan sebagai motivasi kepada para hadirin. 

Selanjutnya, ucapan perasmian dimulakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Al-Fadhil Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Dr Mahfodz Muhamad menerangkan bahawa PASTI di bawah Dewan Pemuda PAS merupakan entiti penting memperkenalkan pendidikan awal Islam kepada kanak-kanak. “Tujuannya supaya dapat melahirkan generasi beriman, bertaqwa yang sayang dan perjuangkan agama Islam”, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, 

Beliau juga menyambung bahawa pendidikan Islam ini sedang dikembangkan ke peringkat sekolah rendah dan menengah dengan tertubuhnya Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) agar dapat memberi khidmat pendidikan teras Islam terbaik untuk umat Islam seluruh Malaysia.

“Tebrau amat bertuah kerana mempunyai dua orang tokoh hebat yang masing-masing juga dalam bidang pendidikan”, ujar beliau sambil merujuk kepada Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tebrau, Al-fadhil Ustaz Khirul Muntanazar Ismail dan Pesuruhjaya PAS Johor, Al-Fadhil Ustaz Abdullah Husin.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Tebrau kini mempunyai 14 buah cawangan PASTI seluruh Kawasan Tebrau dan sebuah SRITI Tahfiz Al-Irfan Tebrau yang merupakan entiti menjadi nadi penggerak memartabatkan pendidikan Islam peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiusaha Politik kepada Pesuruhjaya PAS Johor, Zaini Hussein, beberapa saf pimpinan dan AJK PAS Kawasan Tebrau, Dewan Pemuda PAS Kawasan  Tebrau, Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau dan Wanita UMNO Bahagian Tebrau, Puan Hajah Nora serta beberapa AJK nya. Di akhir majlis, para hadirin dijamu dengan jamuan hasil dari ibadah korban PASTI Al-Irfan Tebrau.