Home Berita PAS Johor

Muslimat Sekijang kesal isu mi segera perisa babi

335
SHARE

Oleh WARDATUL JANNAH ASSOFFEA

Sekijang : Dewan Muslimat PAS Kawasan Sekijang melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kecuaian penganjur yang memasukkan cenderamata berupa mi segera berperisa daging cincang babi untuk penderma darah.

Demikian dinyatakan oleh ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Sekijang, Normala Sudirman sewaktu mengulas isu cenderamata mi segera berperisa daging cincang babi dalam program derma darah di salah sebuah pusat membeli belah di Batu Pahat.

Tambah beliau pihak penganjur perlu dikenakan tindakan tegas kerana situasi tersebut telah mengguris hati ummat Islam khususnya para penderma darah.

“Sebarang tindakan seperti amaran tegas, akujanji dan denda perlu dikenakan bagi memberi pengajaran terhadap organisasi yang menganjurkan program ini kerana cuai dan tidak berhati -hati sehingga menyebabkan ianya berlaku.

“Jika perlu, organisasi NGO ini perlu digantung buat sementara waktu untuk beberapa tempoh tertentu dari meneruskan operasi atau ‘dicutikan ‘ dari sebarang aktiviti untuk beberapa tempoh tertentu supaya dapat menghakis kepercayaan negatif masyarakat setempat terhadap NGO ini yang menganjurkan program amal iaitu program derma darah”, tegasnya lagi.

“Kita tidak mahu masyarakat berasa bimbang jika kejadian ini berlaku dan berulang lagi sekiranya organisasi NGO ini masih dibiarkan berleluasa menjayakan aktiviti dan program buat masa ini”katanya .

Dewan Muslimat PAS Kawasan Sekijang berharap insiden yang berlaku ini dapat memberi pengajaran kepada semua pihak yang bertanggungjawab agar berhati -hati dan berwaspada dalam memilih barang untuk dijadikan cenderamata terutama berkaitan bab makanan.

Elakkan memberi cenderamata berbentuk makanan atau minuman jika bimbang tidak betul begitu pasti ramuan atau perencahnya .

“DMPK Sekijang mencadangkan agar NGO boleh menyediakan cenderamata berbentuk barang kegunaan harian seperti bekas air, pen, alat tulis, bahan bacaan atau plak berbanding barang makanan yang boleh diragui dari segi halal haramnya.
Harus diingat , di dalam Islam segala apa yang kita makan akan menjadi darah daging dan ia amat dititikberatkan di dalam.kehidupan beragama”,katanya.