Home Berita PAS Melaka

Muslimat perlu berada di posisi kepakaran masing-masing hadapi PRN – Kintan Man

211
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 10 Okt: Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin (DMPKJ), Kintan Man menyeru agar semua petugas Muslimat berada di posisi kepakaran masing-masing dalam berdepan kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Demikian dinyatakan DMPKJ dalam satu kenyataan yang dihantar ke Bilik Berita Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi berhubung mesyuarat agung tahunan (MAT) dewan itu yang berlangsung di Kompleks PAS Kawasan, di Jasin, semalam.

Menurut kenyataan itu, perkara ini dinyatakan Kintan semasa sesi ucapan penangguhan MAT DMPKJ tersebut.

“Dengan pergolakan politik yang berlaku di Negeri Melaka, kemungkinan besar Pilihan Raya Negeri akan diadakan dan beliau menyeru semua jentera HalWa Muslimat untuk berada di posisi kepakaran dan kecenderungan masing-masing.

“Contohnya, Muslimat Veteran berada di ‘Skuad Munajat’ dan Muslimat Muda dalam perang siber,” ujar kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, DMPKJ juga telah berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM8023.10 di bawah kempen ‘Satu Keluarga Satu Tabung’ yang telah bermula semenjak muktamar tahun lepas.

Berkaitan dengan pemilihan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa DMPKJ yang turut berlangsung pada kali ini, kenyataan itu memaklumkan bahawa penyandang jawatan ketua bagi dewan ini, Kintan Man mengekalkan jawatan setelah tiada pencalonan lain diterima bagi jawatan itu.

Tambahnya, turut mengekalkan jawatan tanpa bertanding ialah Shopiah Ahmad yang lebih dikenali sebagai Mak Piah bagi jawatan timbalan ketua dan Khadijah Shaari bagi jawatan naib ketua, yang mana kedua-duanya juga adalah penyandang.

Selain itu kenyataan itu juga menjelaskan bahawa sebanyak tiga usul telah diluluskan dalam MAT DMPKJ semalam.

“Pertama, ‘Mendesak Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan Untuk Menghapuskan Hutang PTPTN Dan Memberi Pendidikan Percuma Kepada Semua Pelajar Sehingga Peringkat Ijazah Pertama.

“Usul ini dibawa oleh Puan Hajah Siti Khatijah bte Shaari, Naib Ketua DMPKJ,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, usul kedua ialah ‘Memperkasa Perpaduan Ummah Dengan Memperkukuh Muafakat Nasional (MN) dan Mempertahankan Perikatan Nasional (PN) Dengan Pertandingan Dua Penjuru Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke15.

Menurut kenyataan itu usul ini telah yang dibentang oleh Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti DMPKJ, Zainab Ali.

“Usul ketiga, ‘Mendesak Kementerian Pendidikan Untuk Mengkaji Semula Silibus Sejarah Agar Pejuang Kemerdekaan Sebenar Dinobat’ serta kegemilangan Ketamadunan Melayu Islam dimartabat sejajar dengan catatan sejarah.

“Juga mendesak PAS Pusat untuk menubuhkan Lajnah Sejarah dan Peradaban bagi tujuan yang sama. Usul ini dibentang oleh Puan Hajah Kintan bte Man, Ketua DMPKJ,” ujar kenyataan itu.

Kata kenyataan itu lagi, proses pengundian secara e-voting juga telah berjalan dengan lancar dan jayanya walaupun ada di antara perwakilan yang berumur lebih dari tujuh puluh tahun dan mesyuarat berakhir pada jam 1.25 tengah hari.