Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Muslimat PAS Terus Dekati Pengundi Cina

862
SHARE

Setia Alam : Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Penerangan DMPM, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dan beberapa orang AJK DMPM meraikan warga Tionghua dalam majlis Jamuan Tahun Baru Cina anjuran Lajnah Perpaduan Nasional DMPM yang dipengerusikan oleh Dr. Najihatussalehah Ahmad.

Majlis yang bermula pada jam 5.00 petang diisi dengan ucapan daripada pimpinan pusat dan kawasan serta jemputan lain antaranya AJK PAS Pusat, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki, YDP PAS Kawasan Shah Alam, Abdul Halim Omar, Bendahari DHPP, Kong Tuck Wah serta mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Seramai lebih kurang 40 orang warga Tionghua yang merupakan penduduk setempat menghadiri majlis ini sehingga acara makan Yee Sang beramai-ramai.

Sambutan baik dan mesra daripada masyarakat setempat menjadi bukti penerimaan PAS dalam kalangan kaum bukan Melayu.

Dalam ucapan Ketua DMPM, Ustazah Nuridah mengajak semua yang hadir untuk terus memberikan kepercayaan kepada PAS untuk memerintah Malaysia dengan sejahtera dan saling hormat-menghormati.

Selain itu, Ustazah Nuridah turut menyatakan bahawa berbilang kaum dalam Malaysia ini merupakan satu rahmat daripada Allah seperti yang telah Allah S.W.T nyatakan dalam Surah Al-Hujurat ayat 13;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”