Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Seruan Doa dan Sokongan Buat Mahkamah Syariah Sarawak

562 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
Seruan Doa dan Sokongan Buat Mahkamah Syariah Sarawak

1. Malaysia menghadapi satu lagi konflik bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Kali ini melibatkan kes rayuan Mahkamah Persekutuan berkenaan tuntutan murtad empat orang Muslim dari Sarawak.

2. Mahkamah Persekutuan akan memutuskan satu isu undang-undang iaitu : Sama ada mahkamah syariah ada bidang kuasa mendengar kes murtad, ataupun itu adalah bidang kuasa mahkamah sivil.

3. Kes ini bakal menjadi titik penentuan kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak berkenaan memutuskan kes murtad : adakah masih punya bidang kuasa atau tidak.

4. Muslimat PAS menyeru umat Islam mendoakan agar kemenangan berpihak kepada institusi-institusi agama Islam Sarawak yang dinamakan sebagai responden-responden dalam kes ini agar bidang kuasa Mahkamah Syariah yang sedia terhad terus terpelihara.

5. Kita tidak mahu pemelukan agama Islam dianggap perkara main-main yang dilakukan tanpa sikap tanggungjawab dan hormat kepada agama yang merupakan agama rasmi negara seperti tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

6. Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes telah pun memutuskan bahawa murtad adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti kes-kes berikut :

(i) Soon Singh a/l Bikar Singh v Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor [1999] 1 MLJ 489;

(ii) Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai v Shaik Zolkaffily bin Shaik Natar & Ors [2003] 3 MLJ 705;

(iii) Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain [2007] 4 MLJ 585; and

(iv) Hj Raimi bin Abdullah v Siti Hasnah Vangarama bt Abdullah and another appeal [2014] 3 MLJ 757.

7. Kita mengharapkan permohonan semakan kehakiman oleh pihak perayu tidak dibenarkan, seterusnya bidang kuasa Mahkamah Syariah berkenaan isu murtad tidak lagi dipertikaikan.

8. Akhirnya, Muslimat PAS berpandangan bahawa masa hadapan bidang kuasa mahkamah syariah adalah masa hadapan generasi Muslim seluruhnya.

Ustazah Nuridah Mohd. Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
27 Februari 2018 bersamaan 12 Jamadilakhir 1439