Home Berita PAS Melaka

Muslimat PAS Masjid Tanah Edar Kit Bantuan Ramadan Program Sutera Kasih

718
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH : Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah (DMPKMT) melalui Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatannya (LKK) sedang dalam proses mengedarkan ‘Kit Bantuan Ramadan Sutera Kasih Tautan Hati’ bagi membantu golongan asnaf di sekitar kawasan Masjid Tanah.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Masjid Tanah, Hajah Aziah Md Saad, sebanyak 100 kit bantuan dengan nilai RM40 setiap satu sedang diagih-agihkan oleh Ketua Muslimat PAS di semua cawangan PAS sekitar Parlimen Masjid Tanah.

Aziah yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka berkata proses edaran sudah bermula semalam (13 Mei) dan dijangka selesai pada 17 Mei ini.

Menurut beliau lagi kos untuk menyediakan kit bantuan yang yang melibatkan kos sebanyak RM4000 ini adalah sumbangan dari beberapa pihak antaranya Persatuan Anak Melaka Di Perantauan (PERAWAN) sebagai penyumbang utama selain sumbangan individu serta orang ramai.

“Untuk program ini kita mensasarkan golongan asnaf dari kalangan muslimat dalam kategori B40, ibu tunggal, OKU, warga emas dan anak yatim.

“Program ini sebenarnya adalah program tahunan Dewan Muslimat PAS di mana pada tahun ini, melalui peruntukan dan sumbangan yang kita terima di peringkat Dewan Muslimat Negeri, setiap Dewan Muslimat Kawasan akan mensasarkan 40 kit bantuan.

“Terpulang kepada inisiatif setiap Muslimat Kawasan untuk mencari dana tambahan jika mereka mahu memberi lebih banyak kit di kawasan mereka.

“Saya sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Masjid Tanah juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua LKK Muslimat PAS Masjid Tanah Puan Zaleha Jalil, Puan Hawa Saadah Hamdan dan Puan Gayah Yusoh serta semua AJK DMPKMT atas kerja keras mereka memastikan program ini berjalan lancar.” ujar beliau mengakhiri temuramah beliau bersama wakil Wartawan Rakyat Melaka (WARM).


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)