Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran Surah Al-Ahzab: Siri 21

1654
SHARE

?? Tadabbur Al-Quran ??
Surah Al-Ahzab: Siri 21

Ayat 50-52: Hukum Perkahwinan Khusus untuk Nabi SAW

? Firman Allah serta terjemahannya:

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِنّا أَحلَلنا لَكَ أَزواجَكَ اللّاتي آتَيتَ أُجورَهُنَّ وَما مَلَكَت يَمينُكَ مِمّا أَفاءَ اللهُ عَلَيكَ وَبَنٰتِ عَمِّكَ وَبَنٰتِ عَمّٰتِكَ وَبَنٰتِ خالِكَ وَبَنٰتِ خٰلٰتِكَ اللّاتي هاجَرنَ مَعَكَ وَامرَأَةً مُّؤمِنَةً إِن وَّهَبَت نَفسَها لِلنَّبِيِّ إِن أَرادَ النَّبِيُّ أَن يَّستَنكِحَها خالِصَةً لَّكَ مِن دونِ المُؤمِنينَ ۗ قَد عَلِمنا ما فَرَضنا عَلَيهِم في أَزواجِهِم وَما مَلَكَت أَيمانُهُم لِكَيلا يَكونَ عَلَيكَ حَرَجٌ ۗ وَكانَ اللهُ غَفورًا رَّحيمًا

Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): Anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa) dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; supaya tidak menjadi keberatan bagimu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

تُرجي مَن تَشاءُ مِنهُنَّ وَتُئوي إِلَيكَ مَن تَشاءُ ۖ وَمَنِ ابتَغَيتَ مِمَّن عَزَلتَ فَلا جُناحَ عَلَيكَ ۚ ذٰلِكَ أَدنىٰ أَن تَقَرَّ أَعيُنُهُنَّ وَلا يَحزَنَّ وَيَرضَينَ بِما ءآتَيتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚ وَاللهُ يَعلَمُ ما في قُلوبِكُم ۚ وَكانَ اللهُ عَليمًا حَليمًا

Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendamping sesiapa yang engkau kehendaki dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali daripada mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka dan menjadikan mereka tidak berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada mereka semuanya dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

لّا يَحِلُّ لَكَ النِّساءُ مِن بَعدُ وَلا أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِن أَزوٰجٍ وَلَو أَعجَبَكَ حُسنُهُنَّ إِلّا ما مَلَكَت يَمينُكَ ۗ وَكانَ اللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ رَّقيبًا

Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang baru sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.

? Tafsir Ringkas:

1. Dalam ayat sebelum ini Allah SWT menyatakan hukum iddah bagi isteri yang ditalakkan sebelum disetubuhi. 3 ayat ini pula menyatakan hukum-hukum pernikahan yang khusus buat Nabi SAW untuk menunjukkan kelebihan dan kemuliaan yang dikurniakan kepada baginda.

2. Dalam ayat ini ada 4 golongan wanita yang diharuskan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk dikahwini:

a) Golongan pertama: Wanita yang telah diberikan mas kahwin (dalam ayat ini disebut ‘ujur’). Mas kahwin atau mahar yang diberikan kepada setiap isteri Nabi SAW adalah sebanyak 10 1/2 uqiyah (lebih kurang 500 dirham), kecuali kepada Ummu Habibah binti Sufiyan (400 dinar dibayar oleh Raja An-Najasyi), Safiyyah binti Huyayyin (kerana Nabi memilihnya daripada tawanan wanita Khaibar, kemudian memerdekakannya dan menjadikan pemerdekaan itu sebagai mas kahwin), dan Juwairiyah binti Al-Harith dari Bani Al- Mustaliq (Nabi melunaskan hutangnya daripada Thabit bin Qais bin Syams, kemudian Nabi menikahinya).

b) Golongan kedua adalah wanita yang dikahwini daripada kalangan hamba yang diperolehi daripada tawanan perang. Hamba tidak perlu diberikan mahar untuk mencampuri mereka. Antara isteri Nabi di kalangan hamba adalah Mariah Al-Qibtiah dan tiga hamba yang dibebaskan oleh Nabi yang kemudiannya menjadi isteri Nabi iaitu Raihanah, Safiyyah, dan Juwairiyah.

c) Golongan ketiga adalah wanita yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nabi SAW iaitu sepupu baginda sama ada dari sebelah ibunya Aminah atau bapanya Abdullah dengan syarat sepupu itu telah berhijrah dan telah Islam seperti Zainab dan Ummu Habibah.

d) Golongan keempat adalah wanita yang menawarkan diri untuk dinikahi oleh Nabi SAW tanpa sebarang mahar dan hukum ini terpakai kepada baginda sahaja. Keharusan Nabi SAW mengahwininya tertakluk kepada dua syarat: pertama, wanita itu menawarkan dirinya dan keduanya Nabi SAW bersetuju menikahinya. Wanita yang dikahwini dengan cara ini adalah Maimunah binti Harith. Perkahwinan atas dasar hibah (tanpa mahar, wali dan saksi) ini hanya terpakai kepada Nabi SAW sahaja dan bukan bagi mukmin yang lain.

3. Sesungguhnya Allah SWT telah memberi keluasan kepada Nabi SAW untuk membuat keputusan dalam pembahagian dan penggiliran. Nabi SAW boleh memilih di kalangan isteri-isterinya untuk tidak bermalam dan bermalam dengan mereka. Allah SWT memberi keluasan bagi Nabi dalam pembahagian giliran di antara para isterinya, dan Allah SWT tidak menjadikannya suatu kewajipan bagi Nabi dalam pembahagian tersebut, kerana hal ini adalah demi kebaikan Nabi dan tidak perlulah isteri-isterinya bersedih dengan keputusan tersebut. Bahkan mereka harus redha dengan hal ini.

4. Walaupun Nabi SAW telah diberikan dengan beberapa kelonggaran dalam ayat 50-51, tetapi baginda tidak dibenarkan lagi untuk menambah isteri selepas itu sebagai balasan Allah ‎dan redhaNya kepada isteri-isteri Nabi kerana sikap mereka yang baik iaitu lebih mengutamakan Allah ‎dan RasulNya serta pahala akhirat, ketika mereka disuruh oleh Rasulullah memilih, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

? Pengajaran:

1. Ketahuilah bahawa hukum-hukum berkaitan perkahwinan yang terdapat dalam ayat 50-52 surah Al-Ahzab ini adalah khusus untuk Nabi SAW sahaja. Ini adalah kerana Nabi merupakan seorang Rasul yang sangat istimewa di sisi Allah SWT sebagai seorang Nabi yang membawa risalah Islam yang menyinari ke seluruh alam. Sebagai mukmin, janganlah kita mempersoal keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah SAW.

2. Melalui ayat-ayat ini kita dapat mengetahui bahawa isteri Nabi berasal dari pelbagai latar belakang, dan kesemua perkahwinan Nabi tersebut adalah berlandaskan pedoman wahyu bagi memudahkan Nabi dalam menyampaikan dakwah dan bukanlah atas dasar nafsu semata. Oleh itu, janganlah kita terkeliru dengan fitnah musuh-musuh Islam terhadap Rasulullah SAW berkaitan perkahwinan baginda.

3. Contohilah cara Nabi SAW menguruskan rumah tangga dan cara baginda berkomunikasi dengan isteri -isterinya bagi membina keluarga yang bahagia yang diredhai oleh Allah.

6. Sekiranya lelaki Muslim memilih untuk berpoligami, hendaklah berpoligami dengan cara yang baik dan adil sama ada dari segi penggiliran untuk bermalam dan juga dari segi pemberian nafkah.

? Rujukan:
1. Tafsir Al-Munir
2. Tafsir Ibu Kathir
3. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
4. Fiqh Al-Manhaji

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*l
14 Mei 2020 / 21 Ramadhan 1441