Home Berita PAS Melaka

Muslimat Pas Kawasan Jasin Edar Kit Bantuan Ramadan Program “Sutera Kasih Tautan Hati”

875
SHARE

Oleh : Ummu Husna

JASIN : Dewan Muslimat Pas Kawasan Jasin melalui Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan (LKK) telah mengagihkan kit bantuan Ramadan bagi program ‘Sutera Kasih Tautan Hati’.

Kit berupa barangan dan wang ringgit diserahkan kepada lima orang wakil muslimat dari setiap DUN di Kawasan Jasin. Setiap DUN akan mengagihkan bantuan tersebut kepada lapan orang dari golongan asnaf di DUN masing-masing.

Sumbangan dan bantuan ini telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Dewan Muslimat Jasin, Hajah Shopiah Ahmad di sini semalam.

Menurut Shopiah, program kit bantuan ‘Sutera Kasih Tautan Hati’ ini adalah program yang diatur oleh Dewan Muslimat Pas Negeri Melaka, di mana setiap kawasan diberikan sedikit peruntukan yang diterima dari individu serta orang ramai.

Tambah beliau lagi, edaran kit ini kepada penerima yang layak telah bermula pada 16 Mei dan dijangka selesai pada 23 Mei ini iaitu sebelum berakhirnya Ramadan.

“Sebanyak 40 kit Ramadan bernilai RM30, wang tunai RM50 dan infak Ramadan berbentuk wang tunai yang jumlahnya mengikut DUN masing-masing ini akan diedarkan kepada golongan asnaf bermula hari ini.

“Saya rasa gembira kerana Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin dapat membantu golongan yg memerlukan iaitu ibu tunggal, OKU, warga emas dan anak yatim.” ujar beliau.

Dalam majlis yang sama itu juga seramai 57 orang guru Pasti sekitar Jasin turut menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang sebagai usaha membantu golongan pendidik di Kawasan Jasin ini yang terjejas akibat Covid 19.

Sumbangan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM5700 itu telah diserahkan kepada Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan Jasin, Salasiah Mokhtar mewakili guru-guru PASTI di kawasan itu.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)