Home Artikel PAS Johor

Muslimat PAS Johor Pemangkin Muafakat Nasional

344
SHARE

BATU PAHAT – Pesuruhjaya PAS Negeri Johor Ustaz Abdullah Husin meniupkan semangat jihad dalam kalangan Muslimat PAS Negeri Johor semasa merasmikan Muktamar Tahunan DMPNJ Ke-32 di Kompleks PAS Batu Pahat, Rengit, disini kelmarin.

“Muslimat memainkan peranan sangat penting dalam memenangi hati rakyat dengan penuh hikmah. Oleh itu muslimat perlu bergerak dengan lebih cergas.

“Dalam menjayakan Muafakat Nasional, kunjung hormat kepada rakan MN menunjukkan keprihatinan sekaligus menyampaikan mesej dakwah dan kasih sayang.” Ucap Ustaz Abdullah.

Beliau turut menggesa hubungan yang baik antara PAS Johor di dalam MN Johor seharusnya dijaga di seluruh peringkat.

Mengangkat tema Muslimat Pemangkin Muafakat Nasional, muktamar yang diadakan dalam suasana PKPP dihadiri kesemua 25 Dewan Muslimat PAS Kawasan dengan 100 perwakilan.

Ketua Muslimat PAS Johor Ustazah Fatimah Ismail di dalam ucaptamanya menekankan dasar Muafakat Wanita adalah Islam sebagaimana ibrah daripada Surah Ali Imran, ayat 102-103.

Menurut Ustazah Fatimah, usaha Tarbiyah dan pembinaan Jundullah J12K, kebajikan dan dakwah, serta penguasaan media baru amat penting dalam gerakerja perjuangan Islam hari ini.

“Kita akan menyemarakkan program bersama wanita komponen MN Johor demi mempertautkan hati sesama. Yang terdekat adalah program ‘yasinan’ yang popular dalam kalangan Perempuan Johor.” Ujar Ustazah Fatimah.

Di majlis bersejarah ini juga telah berlangsung pelancaran Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) Cawangan Johor yang disaksikan oleh pemerhati Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Dr Wahibah Tahir dan Kintan Man.

Majlis turut diserikan dengan anugerah Jabatan Pilihanraya Muslimat PAS Kawasan terbaik kepada Pasir Gudang dan Tebrau. Penilaian dibuat terhadap komitmen dan pencapaian mereka di dalam pilihanraya kecil P165 Tanjung Piai yang lalu.

Hadir sama Penolong Setiausaha PAS Pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Penerangan Rusman Kemin, Ketua Ulama Ustaz Mohd Ruslami Salleh, Ketua Pemuda Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz, Naib Ketua DHPP Purusothaman Selladorai dan Setiausaha DHPP Negeri Johor Selvendran Velu.