Home Artikel PAS Melaka

Muslimat PAS HTJ buat aduan polis terhadap Sugarbook

364
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 16 Feb : Satu laporan polis berkenaan aplikasi dan syarikat Sugarbook milik Darren Chan telah pun dibuat di Balai Polis Bukit Baru oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Hang Tuah Jaya (DMPK HTJ) jam 10.43 pagi semalam.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Hang Tuah Jaya, Hawa Yaakub, laporan itu dilakukan bagi membendung aktiviti persundalan yang memberi kesan buruk kepada masyarakat.

“Oleh itu, saya minta pihak polis membuat siasatan terperinci ke atas Darren Chan dan syarikat Sugarbooknya bagi memastikan aktiviti mempromosikan persundalan diharamkan di Malaysia kerana ianya merosakkan moral dan institusi kekeluargaan.

“Di samping boleh mendatangkan pelbagai jenis mudarat lain seperti gangguan mental dan penyakit-penyakit berjangkit yang amat berbahaya, lebih penting lagi ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia serta ajaran Islam serta semua agama lain,” ujar beliau dalam kenyataan laporannya kepada pihak polis.

Di samping boleh mendatangkan pelbagai jenis mudarat lain seperti gangguan mental dan penyakit-penyakit berjangkit yang amat berbahaya

Tambah beliau, operasi laman sesawang syarikat berkenaan wajar disekat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia serta wajib disiasat dan dihukum di bawah Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan kerana mengiklankan, menerbitkan atau mempamerkan khidmat persundalan.

Beberapa orang figura Dewan Muslimat PAS Kawasan Hang Tuah Jaya yang turut serta semalam ialah Naib Ketuanya, Ustazah Norizah Jaafar, Bendahari, Datin Kamila Ab Aziz, Timbalan Pengarah Pilihan Raya, Rossila Nikmat dan Ketua Lajnah Kebajikan, Robiaah AF Pakeh Mangkuta.

Untuk rekod, di Malaysia terdapat 42,500 pengguna aplikasi SugarBook yang juga bergelar ‘sugar daddy’ dan kebanyakan ‘sugar baby’ merupakan pelajar daripada institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini.