Oleh : Ibnatdeen
TANGGA BATU, 23 Ogos – Program ‘Muslimat Merdeka Berselawat’ menjadi pembuka tirai kepada program sambutan kemerdekaan PAS Kawasan Tangga Batu yang berlangsung di Dewan Darul Ta’alim Sungai Udang, di sini semalam.
Program Muslimat Merdeka Berselawat yang merangkumi aspek kerohanian, thaqafah dan kesenian bermula seawal jam 12.30 tengahari dengan sesi pendaftaran dan makan tengahari, diikuti dengan solat zohor berjemaah, bacaan yassin dan majlis selawat.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu, Anida Haron dalam ucapannya di dalam majlis itu melahirkan rasa syukur dan bangga atas semangat kebersamaan yang ditunjukkan Muslimat Tangga Batu untuk menjayakan sambutan kemerdekaan kali ini walaupun masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Kemuncak program dengan nyanyian lagu patriotik dan acara kibar Jalur Gemilang ini turut diceriakan dan dimeriahkan dengan acara deklamasi sajak oleh wakil AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Tangga Batu, Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) dan wakil Majlis Guru PASTI (MGP).
Majlis berakhir sekitar jam 3.30 petang dengan bacaan doa rabitah dan sesi bergambar bersama hadirin yang hadir.