Home Berita PAS Johor

Muar bergema dengan laungan takbir pemuda Johor

194
SHARE

 

Oleh ABU HADIF

MUAR, 6 Ogos : Bandar Muar dijangka menerima kehadiran seluruh perwakilan pemuda PAS Negeri Johor hari ini bagi menyempurnakan majlis perasmian dan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) kali ke-50 di Hotel Classic, di sini, pagi ini.

Menurut Pengarah Panitia Muktamar, Mohd Ridwan Salamon, persiapan program yang bermula sejak beberapa hari sebelum ini bersama pasukannya dan tuan rumah telah berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata, persiapan turut meliputi sambutan Jubli Emas DPPNJ yang menyambut umur lima dekadnya pada tahun ini yang akan disempurnakan perasmian oleh Timbalan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail.

Beliau dengan rasa bersyukur juga menambah seramai 150 orang perwakilan pemuda dari 20 kawasan seluruh Johor dijangka akan hadir pagi ini untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli dan jawatankuasa pemuda kawasan.

Turut kelihatan, persiapan perbarisan kehormatan oleh anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor (JAMNJ) yang akan menyambut kehadiran perasmi dan tetamu-tetamu jemputan.

Menurut Timbalan Pengarah 4 JAMNJ, Firdaus Muntanazar, seramai 12 orang anggota perbarisannya telah bersiap sedia sejak jam awal pagi ini selain lain-lain anggota yang turut ditugaskan di posisi keselamatan sepanjang majlis berlangsung.

Perwakilan Batu Pahat, Muhammad Nur Addin Zulkifli ketika ditemui menyatakan rasa syukur kerana diberi peluang bertemu secara bersemuka sepenuhnya untuk bermuktamar setelah tahun-tahun sebelum ini hanya secara maya akibat pandemik.

Perwakilan Pengerang, Muhammad Noor Firdaus Sulaiman turut menyatakan rasa teruja dan bersemangat kerana berpeluang untuk menyertai kali pertama muktamar DPPNJ dan beranggapan sebagai pengalaman baru dan berharga buat dirinya.

Muktamar kali ini turut disertai para pemerhati dari parti rakan, pihak NGO dan pengamal media yang hadir menyaksikan majlis berlangsung.

Ketua DPPNJ, Ustaz Ahmad Nawfal Dato Dr Mahfodz juga akan menyampaikan ucaptama Ketua Pemuda yang bertajuk Bernegara Kerana Allah.

Dalam masa yang sama, Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) turut mengadakan majlis yang sama di Hotel Muar Traders berdekatan dari sini.

Untuk rekod, Dewan Ulamak PAS Negeri Johor juga turut mengadakan Muktamar Tahunannya semalam di Markas Tarbiah PAS Simpang Jeram Bakri.