Home Berita PAS Wilayah

Generasi 21-40 tahun bentuk majoriti pengundi PRU-15

45
SHARE

Oleh Dhiya’ Muttmainnah

BATU, 6 Ogos : 5.8 juta pengundi baru sudah didaftarkan secara automatik dan 1.2 juta daripada itu adalah pengundi pertama kali yang berusia antara 18 ke 20 tahun.

Demikian antara statistik daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dikongsi oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP), YB Senator Ustazah Nuridah bt Mohd Salleh dalam ucaptamanya di Muktamar Tahunan DMPWP Kali Ke-39 hari ini.

“Manakala 12.2 juta daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar pula adalah berumur antara 21-40 tahun. Di mana, golongan ini jelas telah membentuk majoriti 58% pengundi untuk Pilihanraya kali ini,” tambah beliau lagi.

Menurut YB Senator lagi, ramai penganalisis politik telah banyak bersuara mengenai pengundi muda dan golongan millennial ini yang rata-ratanya tidak menunjukkan minat kepada politik negara.

“Hal ini sebenarnya menjadi cabaran besar kepada kita, akan tetapi ia juga merupakan suatu peluang terbaik buat kita. Ianya memerlukan strategi, buah fikiran serta kerjasama yang kukuh dalam usaha menarik 12.2 juta pengundi muda ini kepada politik Islam,” jelas beliau.

YB Senator Ustazah Nuridah turut menyeru ketiga-tiga entiti anak muda kelahiran Dewan Muslimat PAS iaitu Ameerah, Nusaibah dan Briged untuk saling bekerjasama dalam mendekati dan memahamkan generasi muda ini terhadap peri pentingnya politik Islam.

“Andai benar kita hanya tinggal sekitar 100 hari berbaki sebelum parlimen dibubar, harapnya kita bukan baru terkedek-kedek melakukan aktiviti turun padang tetapi kita mesti pulun kepada pecutan terakhir meraih kemenangan sebaiknya,” tegas beliau.