Home Melaka

Modul kualiti haraki 1 | Program latihan berterusan tingkatkan kualiti kepemimpinan

88
SHARE

SIRI -1

Rencana ini adalah siri dalam Modul Kualiti Haraki di bawah Lajnah Pemerkasaan Parti Badan Perhubungan PAS Melaka

Oleh IBNU JANIE

DALAM  ilmu pengurusan terdapat tiga peringkat pengurusan iaitu pengurusan atasan, pertengahan dan bawahan. Jika kita kaitkan dengan PAS sebagai organisasi politik, maka pengurusan tertinggi ialah pada peringkat Majlis Syura, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Dewan-dewan PAS Pusat.

Pengurusan pertengahan ialah Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri dan Dewan-dewan peringkat negeri. Sementara pengurusan bawahan pula ialah peringkat kawasan-kawasan dan cawangan-cawangan.

Jika kita mengecilkan skopnya kepada PAS kawasan sahaja, maka pimpinan PAS kawasan adalah pimpinan atasan, Jawatankuasa Pilihan Raya DUN (JPRD) sebagai pimpinan pertengahan sementara cawangan-cawangan sebagai pimpinan bawahan.

Menjadi ketua kepada sesuatu organisasi samada di peringkat pengurusan atasan, pertengahan, mahu pun peringkat bawahan memerlukan seseorang itu mempunyai kemahiran atau skil memimpin.

Kepemimpinan (Foto hiasan)

Kepimpinan ini adalah berkaitan dengan kemampuan seseorang ketua itu untuk membawa pengikutnya, atau dalam bahasa pengurusan dipanggil ‘subordinat’, ke satu matlamat organisasi. Peranan pemimpin adalah untuk membuatkan pengikutnya melakukan segala yang diperlukan untuk mencapai matlamat organisasi.

Contohnya, PAS sebagai sebuah parti politik, sudah pasti matlamatnya adalah untuk memenangi pilihan raya. Namun sebagai parti yang berteraskan Islam maka, di samping matlamat duniawi, PAS ada matlamat yang lebih jauh lagi iaitu untuk mencari reda Allah SWT.

Sebagai pimpinan PAS di mana-mana peringkat pun mereka perlu memastikan pengikut-pengikut di bawah pimpinannya untuk bekerja keras untuk mencapai matlamatnya iaitu memenangi pilihan raya dan mencari keredaan Allah SWT.

Sebagai pengurusan atasan, pimpinan PAS Pusat akan meletakkan matlamat peringkat atasan atau pun peringkat strategik. Subordinat kepada pimpinan PAS Pusat adalah pimpinan negeri-negeri. Jadi pimpinan PAS Pusat mesti mampu membuatkan pimpinan negeri-negeri ini melaksanakan gerak kerja yang telah ditetapkan.

Subordinat pada pimpinan PAS negeri-negeri pula adalah pimpinan PAS Kawasan-kawasan, peringkat DUN (JPRD) dan cawangan-cawangan. Pimpinan PAS negeri perlu memastikan pimpinan kawasan, JPRD dan cawangan-cawangan bergerak dan melakukan gerak kerja yang diarahkan pimpinan Pusat.

Bagaimana setiap peringkat pimpinan ini mahu mempengaruhi pimpinan bawahan atau subordinat mereka untuk melaksanakan arahan adalah bergantung kepada tahap kemampuan dan ilmu kepemimpinan seseorang pemimpin itu sendiri.

Sekiranya mereka tidak tahu cara atau kemahiran untuk mempengaruhi orang bawahan mereka untuk bekerja, bermakna akan timbul masalah dalam perlaksanaan tugas yang diterima oleh seseorang pemimpin itu yang diterima oleh seseorang pemimpin yang lebih atas.

Dalam organisasi biasanya kita akan berjumpa dengan tiga jenis ketua. Yang pertama ialah ketua yang tidak mempunyai skil kepimpinan asas yang sepatutnya ada pada seseorang pemimpin. Mereka memimpin secara semberono dan kepimpinan mereka lemah.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 15 Julai 2022

Jenis yang kedua ialah ketua yang boleh memimpin tetapi sangat perlu dipandu. Sekiranya mereka pemimpin atasan mereka sangat perlu panduan orang bawahan mereka. Sekiranya mereka pimpinan pertengahan mereka akan sentiasa menunggu arahan daripada pihak atasan untuk bertindak. Mereka boleh memimpin tetapi sentiasa perlu dibimbing dan kurang menggunakan inisiatif sendiri.

Yang ketiga adalah ketua yang tahu apa yang harus dilakukan dengan jawatannya dan sentiasa mempunyai inisiatif sendiri untuk menjalankan tanggungjawabnya. Sekiranya mereka pemimpin pertengahan mereka memudahkan tugas pemimpin atasan mereka dan dianggap sebagai mampu bekerja dengan penyeliaan rendah. Ini ketua yang benar-benar dipanggil pemimpin.

Ada sesetengah orang mereka sudah mempunyai bakat kepemimpinan semula jadi yang mungkin telah terbentuk semasa di rumah atau di institusi pengajian. Namun sesetengah pemimpin perlu diasuh melalui program-program latihan berkaitan kepemimpinan seperti kursus-kursus atau seminar-seminar.

Menghadiri kursus dan seminar untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran (Gambar hiasan)

Bagi mereka yang tiada atau kurang skil kepemimpinan, program-program latihan ini penting bagi menjadikan mereka terlatih. Bagi mereka yang memang sudah mempunyai skil kepimpinan pula, latihan-latihan kepemimpinan akan menambahbaikan lagi skil mereka.

Program latihan yang berterusan dalam membina kualiti kepemimpinan pemimpin-pemimpin dalam sesuatu organisasi adalah sesuatu yang sangat penting. Malah kita melihat organisasi-organisasi korporat turut menitikberatkan soal kepemimpinan dalam perniagaan. Semuanya adalah untuk memastikan bahawa organisasi mereka berjaya.

Organisasi yang dipimpin oleh mereka yang mempunyai kualiti kepemimpinan yang tinggi dan mampu memotivasi dan membawa pengikut-pengikut mereka ke arah matlamat organisasi akan lebih mudah untuk berjaya.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat dan Ketua Editor Negeri Melaka, bagi Portal Berita PAS.

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH