Home Minda Presiden

Sekularisme itu ajaran sesat

297
SHARE

Minda Presiden PAS
SEKULARISME ITU AJARAN SESAT

Sekularisme ialah konsep yang menyatakan bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing daripada agama atau memisahkan urusan dunia daripada kepercayaan agama. Ia merupakan suatu konsep yang bukan daripada ajaran Islam, malah sekali gus bercanggah dengannya.

Al-Quran menegaskan suatu ketetapan Allah SWT yang telah diisytiharkan kepada para malaikat yang mulia, ketika hendak menciptakan makhluk manusia bermula dengan Nabi Adam AS. Perkara tersebut dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ٣٠﴾

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Perkataan khalifah atau khilafah ialah mentadbir urusan dunia dengan agama Allah (Islam). Kelayakan manusia itu dipilih menjadi khalifah adalah berdasarkan fitrah (sifat kejadiannya) yang berjasad, mempunyai roh, berakal dan bermasyarakat.

Hal ini sama sekali berbeza dengan makhluk lain, walaupun semuanya diciptakan oleh Allah Pencipta alam yang disebutkan sebagai Rabb al-‘Alamin (Pencipta dan Pentadbir alam). Semua makhluk itu diciptakan bersama sistem dan undang-undang mengikut sempadan fitrah masing-masing yang wajib dipatuhi secara Islam (dengan menyerah diri). Allah SWT menegaskan hal ini melalui firman-Nya:

﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥﴾

“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nya jua menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan. (83); Katakanlah: ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Isma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya jua kami menyerahkan diri.’ (84); Sesiapa mencari agama selain daripada agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (85)” (Surah Ali ‘Imran: 83-85) 

Semua para rasul dan anbiya’ yang dilantik oleh Allah SWT menganut Islam sebagai suatu agama yang sempurna dengan meletakkan urusan dunia sebahagian daripada urusan agama.  Perkara tersebut disampaikan oleh mereka  melalui usaha dakwah kepada Islam bagi menghadapi seluruh manusia pada zaman masing-masing, bermula daripada pihak berkuasa yang dinamakan raja-raja atau golongan al-Mala’ (para pemimpin) pada zaman masing-masing.

Al-Quran juga menyatakan bahawa terdapat sebahagian rasul yang memerintah negara dengan gelaran Khalifah atau Raja, mereka melaksanakan urusan dunia yang tidak berpisah daripada agama Islam. Bahkan, terdapat para rasul yang wafat dalam perjuangan dan kemudiannya disambung oleh para sahabat yang setia.

Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadis, antaranya ialah sabdanya:

كَانَتْ بَنُو إسْرائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.

“Kaum Bani Isra’il pada zaman dahulu, mereka dipimpin (dan ditadbir) oleh para anbiya’. Apabila setiap orang nabi wafat, maka akan digantikan oleh nabi yang sesudahnya. Dan bahawasanya tidak akan ada nabi lagi selepasku (Nabi Muhammad SAW), tetapi akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah) selepasku, dan jumlah mereka itu adalah ramai.”

قَالُوْا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟

Para sahabat bertanya: “Apakah perintahmu (pesanan Rasulullah) kepada kami jika itu berlaku?”

قَالَ: فُوْا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أُعْطُوْهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ.

Sabdanya: “Tunaikan baiah (janji ketaatan dan kesetiaan) kepada yang paling awal, kemudian sesudah itu. Berikanlah hak mereka (sebagai pemimpin), maka sesungguhnya Allah akan membicarakan mereka terhadap apa yang ditunaikan dalam urusan kepimpinan mereka.” (Riwayat al-Bukhari 3455 dan Muslim 1842)

Dan juga sabda Baginda SAW:

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ، وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ ‌خُلُوفٌ ‌يَقُولُونَ ‌مَا ‌لَا ‌يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Tiada seorang nabi pun yang Allah utuskan kepada satu-satu umat sebelumku pada zaman terdahulu melainkan bersamanya para pengikut yang setia, para sahabat yang mengambil petunjuknya dan berpegang kepada ajarannya. Kemudian, selepas ketiadaannya ada pula para pemimpin yang mengambil tugas bercakap apa yang tidak dilaksanakan (berbohong) dan melakukan apa yang tidak disuruh (berbuat kemungkaran). Maka, sesiapa yang berjihad dengan tangan (tenaga) bagi mencegahnya, nescaya dia beriman. Dan sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, nescaya dia juga beriman dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya (membenci dengan tidak menyokong), nescaya dia beriman. Dan tiada lagi iman selepas itu, walaupun sebesar biji yang halus (berkecuali tanpa menentangnya).” (Riwayat Muslim 50)

Ajaran Islam yang sempurna menekankan peranan manusia untuk memakmurkan bumi dengan membina tamadun yang berkonsepkan adil mengikut sempadan Allah SWT, dengan keseimbangan dan keperluan terhadap aspek kebendaan serta aspek rohani yang berakhlak dan adil. Termasuk juga berwawasan akhirat, apabila percaya akan adanya hisab dan Hari Pembalasan terhadap semua amalan dunia.

Adapun ketamadunan tanpa Islam hanyalah menegakkan tamadun dari aspek kebendaan semata-mata tanpa suatu sempadan serta tertegak atas kezaliman dan keruntuhan akhlak. Keadaan ini telah dilambangkan daripada peninggalan sejarah yang dapat disaksikan bahawa pembangunannya hanyalah dengan memperhamba rakyat dan mereka dijadikan mangsa  korban oleh pemerintah yang zalim.

Rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW membawa al-Quran sebagai mukjizat ilmu yang terkandung di dalamnya petunjuk dalam semua urusan agama dan dunia. Baginda SAW meneruskan perjuangan para rasul yang disempurnakan pada akhir zaman kepada seluruh manusia, sehingga ke akhir ajalnya.

Dalam keadaan petunjuk Islam berada di kemuncaknya apabila mencapai kurniaan Allah SWT dari sudut kemudahan perhubungan dalam semua urusan yang lain. Hal ini menunjukkan betapa wajibnya Islam menjadi petunjuk, sehingga Rasulullah SAW menolak tawaran untuk diberikan kuasa menjadi raja tanpa menerima ajaran agama yang disampaikannya.

Perjuangan Rasulullah SAW telah berjaya membentuk sebuah masyarakat dan negara di Madinah dalam keadaan masyarakatnya yang majmuk, lantas ia diuruskan dengan petunjuk Islam berkonsepkan kemanusiaan sejagat dan adil kepada semua. Seterusnya mencipta sebuah tamadun baharu dengan petunjuk al-Quran itu, disertakan ilmu akal serta pengalaman yang bermanfaat dan menolak semua bentuk kemudaratan berkonsepkan Maqasid al-Syari‘ah (tujuan dan hikmah syariat Allah SWT).

Pelaksanaan Islam yang sempurna itu menjadi ijmak (sepakat) ulama’ para sahabat dan juga generasi berikutnya, setelah mereka berusaha memelihara ajaran Islam secara ilmu dan melalui pelaksanaannya.

Pemisahan urusan dunia daripada petunjuk agama berlaku dalam kalangan penganut Yahudi yang jauh terseleweng daripada agama, dan perbuatan mereka itu dimurkai oleh Allah SWT. Perkara ini disebutkan oleh firman-Nya:

﴿…أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ٨٦﴾

“…Apakah kalian hanya beriman kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka, tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu antara kalian, melainkan mendapat kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dijatuhkan dengan azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kalian lakukan. (85); Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada Hari Kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan. (86)” (Surah al-Baqarah: 85-86)

Adapun agama Kristian pula berpegang kepada Kitab Injil yang tidak sempurna dan telah diubah daripada teks asalnya.

Allah SWT melantik seorang Rasul, Nabi ‘Isa AS khusus kepada Bani Isra’il yang telah mempunyai Kitab Taurat yang disempurnakan dengan Kitab Injil. Lalu, mereka diperintah untuk beramal dengan kedua-dua kitab tersebut sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَيُعَلِّمُهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ٤٨ وَرَسُولًا إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ أَنِّي قَدۡ جِئۡتُكُم بِ‍َٔايَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ أَنِّيٓ أَخۡلُقُ لَكُم مِّنَ ٱلطِّينِ كَهَيۡ‍َٔةِ ٱلطَّيۡرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيۡرَۢا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۖ وَأُبۡرِئُ ٱلۡأَكۡمَهَ وَٱلۡأَبۡرَصَ وَأُحۡيِ ٱلۡمَوۡتَىٰ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۖ وَأُنَبِّئُكُم بِمَا تَأۡكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٤٩ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعۡضَ ٱلَّذِي حُرِّمَ عَلَيۡكُمۡۚ وَجِئۡتُكُم بِ‍َٔايَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ٥٠﴾

Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil. (48); Dan (akan melantiknya) menjadi seorang rasul kepada Bani Isra’il, (dengan menegaskan kepada mereka): ‘Sesungguhnya aku telah datang kepada kalian dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada tuhan kalian, iaitu aku boleh membuat untuk kalian dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kalian tentang apa yang kalian makan dan apa yang kalian simpan di rumah kalian. Sesungguhnya, perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kalian (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang rasul yang diutuskan oleh Allah kepada kalian), jika kalian orang-orang yang (mahu) beriman. (49); Dan juga (aku datang kepada kalian ialah untuk) mengesahkan kebenaran kitab Taurat yang diturunkan lebih dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kalian sebahagian (daripada perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kalian; dan juga aku datang kepada kalian dengan membawa satu mukjizat daripada Tuhan kalian. Oleh itu, bertaqwalah kalian kepada Allah dan taatilah kepadaku. (50)” (Surah Ali ‘Imran: 48-50)

Raja Rom menganut Kristian yang tidak sempurna ajarannya dan telah diubah daripada asal agama Allah yang sempurna menyebabkan mereka terpesong dan tersesat bagi menyelesaikan urusan dunia dengan sekadar ciptaan akal manusia sahaja. Pada masa yang sama, mereka juga berkhilaf dengan para paderi yang menggunakan kuasa agama secara salah, sehinggakan golongan paderi tersebut telah bertindak meminda hukum Allah SWT. Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡ‍ٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ٦٤﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Ahli Kitab! Marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dengan kalian, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak menyekutukan dengan-Nya sesuatu jua apa pun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan selain daripada Allah.’ Kemudian, jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah kalian bahawa sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (berserah diri).’” (Surah Ali ‘Imran: 64)

Firman Allah SWT:

﴿ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ٣١﴾

“Mereka menjadikan para pendeta dan pra rahib mereka sebagai tuhan selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih (Nabi ‘Isa) putera Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.” (Surah al-Tawbah: 31)

Seterusnya, berlaku Revolusi Industri dalam kemajuan sains dan teknologi hasil ciptaan Tamadun Islam yang dibawa masuk ke dunia Barat, tanpa dianuti ajaran Islam dan dipisahkan daripada agama Kristian yang tidak mempunyai aspek duniawi dalam ajarannya. Keadaan ini menambahkan lagi kekusutan fahaman yang memisahkan urusan dunia daripada agama.

Sekularisme pula mendapatkan akar ciptaan manusia daripada para intelektualnya yang terdiri daripada kalangan ahli falsafah Yunani dan Rom seperti Marcus Aurelius dan Epicurus. Seterusnya dalam kalangan tokoh pemikir zaman Pencerahan seperti Baron d’Holbach, Denis Diderot, Voltaire, John Locke, James Madison, Thomas Jefferson, dan Thomas Paine. Manakala, dalam kalangan tokoh pemikir bebas, agnostik dan ateis seperti Bertrand Russell dan Robert Ingersoll.

Ajaran sesat ini dibawa masuk oleh para penjajah ke dalam masyarakat Islam ketika penaklukannya dengan pelaksanaan strategi membuang kuasa agama Islam dalam urusan dunia, khususnya dalam pentadbiran negara. Sehinggakan, umat Islam khususnya raja-raja tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara mengikut ajaran Islam, atas sifatnya menjadi ketua negara apabila Islam dianuti sebelum kedatangan penjajah.

Walaupun penjajah asing itu telah keluar daripada tanah air umat Islam selepas diberikan kemerdekaan, namun mereka meninggalkan suatu bentuk ajaran sesat di bekas tanah jajahannya. Sekularisme terus berkuasa sehingga mempengaruhi sistem pelajaran, pendidikan dan media yang menyesatkan.

Kita sedang menyaksikan kegagalan ideologi ciptaan sekularisme di negara-negara yang menganutinya, sehinggakan ia telah merosakkan diri manusia dan institusi kekeluargaan, termasuklah politik, ekonomi, sosial dan alam sekitar. Hal ini sangat membahayakan kerana amalan mereka yang terlalu bebas tanpa mempedulikan soal perhitungan dosa dan pahala yang ditekankan dalam agama.

Umat Islam yang meneruskan ajaran yang sesat itu terus berada dalam masalah yang tidak mampu diselesaikan. Justeru, amaran Allah SWT apabila tidak menegakkan Islam berlaku. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

﴿إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡ‍ٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah untuk membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kalian dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain, dan kalian tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikit pun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Tawbah: 39) 

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 5 Muharram 1444 / 3 Ogos 2022